Tuntutlah ilmu sebelum ilmu itu diangkat. Ilmu diangkat dengan meninggalnya para ulama. Orang yang berilmu dan orang yang menuntut ilmu memiliki kedudukan yang sama dalam hal pahala. Sesungguhnya manusia itu hanya ada dua, orang yang berilmu dan orang yang menuntut ilmu. Dan tidak ada kebaikan pada diri manusia yang selainnya.

(Abu Darda')

siapa saya?

My photo
hanya seorang insan yang ingin membersihkan diri ini dari segala dosa..andai saja air mata ini dapat membasuh segala dosaku,maka ku pohon padaMU ya Allah janganlah Engkau keringkan ia dari mengalir ke pipi..aku hanyalah hambaMu yang hina..yang mengharap pengampunan dariMu..yang mencari jalanMu..yang akhirnya pasti kembali padaMu..

Archives

gravatar

Indahnya Kemesraan Suami Isteri

Assalamualaikum…

Sesungguhnya sebuah pernikahan, perkahwinan dan kehidupan suami isteri itu sangat indah. Amatlah rugi sekiranya sesebuah rumah tangga itu tidak dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Masih ramai lagi di luar sana yang masih tercari-cari jodoh sendiri, tidak dapat berkahwin kerana masalah kewangan, masalah tidak mendapat restu ibubapa dan macam-macam lagi. Oleh itu, bagi yang sudah pun berumah tangga, manfaatkanlah alam ini dengan sebaik mungkin. :)

Keutuhan rumah tangga memerlukan kerjasama dua pihak, iaitu suami dan juga isteri. Hubungan yang penuh kasih sayang, InsyaAllah, akan kekal selama-lamanya kerana hubungan yang kaya dengan kasih sayang akan membetulkan segala keadaan, segala salah anggap, segala buruk sangka. Dengan kasih sayang, timbulnya kemesraan.

kemesraan suami isteri

Jadi, di sini, saya akan menceritakan sedikit sebanyak tips kemesraan yang boleh dibangkitkan di antara suami isteri. Tips ini adalah merupakan amalan Nabi kita sendiri, Rasulullah S.A.W. Lebih-lebih lagi, segala perbuatan baginda adalah suatu sunnah. Ganjaran pahala diberikan sekiranya kita mengamalkannya. Betapa romantiknya Rasulullah S.A.W. :)

  • Tidur dalam satu selimut bersama isteri

Dari Atha’ bin Yasar: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W dan ‘Aisyah r.a biasa mandi bersama dalam satu bejana. Ketika baginda sedang berada dalam satu selimut dengan ‘Aisyah r.a, tiba-tiba ‘Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya, ‘Mengapa engkau bangkit?’ Jawabnya, ‘Kerana saya haid, wahai Rasulullah.’ Rasulullah berkata, ‘Kalau begitu, pergilah ambil kain dan dekatlah kembali kepadaku.’ Aku pun masuk lalu berselimut bersama beliau” (Hadith Riwayat Sa’id bin Manshur)

  • Mendinginkan kemarahan isteri dengan mesra

Rasulullah S.A.W biasa memicit hidung ‘Aisyah jika beliau marah dan baginda berkata, “Wahai ‘Uwaisy, bacalah doa: ‘Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku dari fitnah yang menyesatkan.” ( Hadith Riwayat Ibnu Sunni)

  • Membersihkan titisan darah haid isteri

Dari ‘Aisyah r.a, beliau berkata, “Aku pernah tidur bersama Rasulullah S.A.W di atas satu tikar ketika aku sedang haid. Bila darahku menitis ke atas tikar itu, beliau mencuci bahagian yang terkena titisan darah dan baginda tidak berpindah dari tempat itu, kemudian baginda solat di tempat itu pula, lalu baginda berbaring kembali di sisiku. Bila darah ku menitis lagi di atas tikar itu, baginda mencuci di bahagian yang terkena darah itu saja dan tidak berpindah dari tempat itu, kemudian baginda pun solat di atas tiakr itu.” (Hadith Riwayat Nasa’i)

kemesraan suami isteri

  • Segera menemui isteri jika tergoda

Dari Jabir, sesungguhnya Nabi S.A.W pernah melihat wanita, lalu baginda masuk ke tempat Zainab, lalu baginda tumpahkan keinginan baginda kepadanya, lalu keluar dan bersabda, “Wanita, kalau mengadap, ia mengadap dalam rupa syaitan….Bila seseorang di antara kamu melihat seorang wanita yang menarik, hendaklah ia datangi isterinya, kerana pada diri isterinya ada hal yang sama dengan yang ada pada wanita itu.” (Hadith Riwayat Tirmidzi)

  • Tidur di pangkuan isteri

Dari ‘Aisyah r.a, beliau berkata, “Nabi S.A.W biasa meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian beliau membaca Al-Quran.” (Hadith Riwayat ‘Abdurrazaq)

  • Memanggil isteri dengan kata-kata mesra

Rasulullah S.A.W biasa memanggil ‘Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang disukainya seperti ‘Aisy dan Humaira (pipi merah delima).

  • Meminta isteri meminyaki badan

Dari ‘Aisyah r.a, beliau berkata, “Saya meminyaki badan Rasulullah S.A.W pada Hari Raya Aidil Adha setelah baginda melakukan jumrah ‘aqabah.” (Hadith Riwayat Ibnu ‘Asakir)

  • Membelai isteri

“Adalah Rasulullah S.A.W tidaklah setiap hari melainkan baginda mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang. Beliau menghampiri dan membelai kami dengan tidak mencampuri hingga beliau singgah ke tempat isteri yang beliau giliri waktunya, lalu beliau bermalam di tempatnya.” (Hadith Riwayat Ahmad)

  • Mencium isteri

Dari ‘Aisyah r.a, bahawa Rasulullah S.A.W baisa mencium isterinya setelah wudhu’, kemudian beliau solat dan tidak mengulangi wudhu’nya.” (Hadith Riwayat ‘Abdurrazaq)

Dari Hafsah, puteri ‘Umar r.a, “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W biasa mencium isterinya sekalipun sedang puasa.” (Hadith Riwayat Ahmad)


Permalink
gravatar

Hasad Dengki dan Iri Hati

Abul Laits Assamarqandi r.a. meriwayatkan dengan sanadnya dari Alhasan berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Hasad dan dengki itu keduanya akan memakan habis hasanat sebagai mana api makan kayu."

Ibrahim bin Aliyah dari Abbad bin Ishaq dari Abdurrahman bin Mu'awiyah berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Tiga macam sifat yang tidak dapat selamat daripadanya seorangpun iaitu:

  • Buruk sangka

  • Hasad dengki

  • Takut sial kerana sesuatu

Lalu ditanya: "Ya Rasulullah, bagaimana untuk selamat dari semua itu?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Jika kau hasad maka jangan kau lanjutkan, dan jika menyangka maka jangan kau buktikan (jangan kau cari-cari kenyataannya) dan jika merasa takut dari sesuatu maka hadapilah (jangan mundur)." Yakni jika hasad dalam hatimu maka jangan kau lahirkan dalam amal perbuatanmu sebab selama hasad itu masih dalam hati, maka Allah s.w.t. maafkan selama belum keluar dengan lidah atau perbuatan. Jika su'udhdhan (buruk sangka) maka jangan kau buktikan, jangan berusaha menyelidiki mencari kenyataannya. Demikian pula jika akan keluar untuk sesuatu lalu ada suara burung atau lain-lain yang menimbulkan was-was atau takut dalam hati maka teruskan hajatmu dan jangan mundur."

Nabi Muhammad s.a.w. suka kepada fa'al (kata-kata yang baik atau harapan yang baik) dan tidak suka thiyarah (takut sial kerana burung dan sebagainya) dan bersabda: "Thiyarah itu perbuatan jahiliyah." Seorang mukmin tidak takut dan berlindung kepada Allah s.w.t.

Ibn Abbas r.a. berkata: "Jika kamu mendengar suara burung maka bacalah: "Allahumma la thoira illa thairuka walaa ilaha ghoiruka walaa haula walaa quwwata illa billahi." (Yang bermaksud): "Ya Allah, tidak ada burung kecuali burungMu dan tidak ada kebaikan kecuali daripadaMu dan tiada Tuhan kecuali Engkau dan tiada daya dan tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah." Dan teruskan maksudmu, maka tidak akan ada sesuatu yang berbahaya bagimu. Bi idz nillah.

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Jangan benci membenci dan jangan hasud menghasud dan jangan menawar barang untuk menjerumuskan orang lain dan jadilah kamu hamba Allah sebagai saudara."

Mu'awiyah bin Abi Sufyan berkata kepada puteranya: "Hai anak, hati-hatilah dari hasud, dengki kerana ia akan nyata pada dirimu sebelum bahayanya tampak nyata pada musuhmu."

Abul Laits berkata: "Tiada sesuatu yang lebih jahat daripada hasud, sebab penghasud itu akan terkena lima bencana sebelum terkena apa-apa yang dihasud iaitu:

  • Risau hati yang tak putus-putus

  • Bala yang tidak berpahala

  • Tercela yang tidak baik

  • Dimurka Allah s.w.t.

  • Tertutup padanya pintu taufiq

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Ingatlah bahawa nikmat-nikmat Allah s.w.t. ada musuhnya." Ditanya: "Siapakah musuh-musuh nikmat Allah s.w.t. itu, ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ialah mereka yang hasud terhadap nikmat kurniaan Allah s.w.t. yang diberikan kepada manusia."

Malik bin Dinaar berkata: "Saya dapat menerima persaksian orang qurraa' terhadap siapapun tetapi tidak dapat menerima persaksian terhadap sesama qurraa' sebab diantara mereka ada rasa iri hati dan hasud menghasud." Abuhurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Enam kerana enam akan masuk neraka pada hari kiamat sebelum hisab (perhitungan amal) iaitu:

  • Pemerintah kerana zalim

  • Orang kerana fanatik (mengutamakan kebangsaan)

  • Kepala desa kerana sombong

  • Pedagang kerana kianat

  • Orang dusun kerana kebodohan

  • Ahli ilmu kerana hasud

Yakni ulama yang hanya berebut dunia, mereka hasud satu sama lain, kerana itu seharusnya seseorang menuntut ilmu kerana Allah s.w.t. dan akhirat supaya tidak timbul hasud menghasud antara satu pada yang lain. Sebagaimana firman Allah s.w.t. mengenai orang-orang Yahudi (Yang berbunyi): "Am yahsudunan naasa ala maa ataahumullahu min fadhlihi." (Yang bermaksud): "Ataukah mereka hasud pada orang-orang kerana Allah memberikan kurniaNya kepada mereka."

Seorang cendikiawan berkata: "Awaslah dari hasud (irihati) sebab hasud itu pertama-tama dosa dilangit dan juga pertama dosa yang terjadi dibumi. Iblis laknatullah diperintah sujud pada Nabi Adam a.s. akan tetapi oleh kerana ia irihati (hasud) sehingga menolak perintah Allah s.w.t. dan dia dikutuk oleh Allah s.w.t. dan juga Qabil membunuh Habil kerana irihati, hasud sebagaimana tersebut didalam ayat (yang berbunyi: "Watlu alaihim naba'abnai Adama bilhaqqi idz qorrabaa qurbana, qaala la aqtulannaka qaala innama yataqabbalullahu minal muttaqien." (Yang bermaksud): "Bacakanlah berita kedua putera Adam ketika sama-sama mengajukan korbannya, maka diterima yang satu dan ditolak yang lain, lalu ia berkata: "Saya akan membunuh engkau." Jawabnya: "Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang yang bertaqwa."

Al-Ahnaf bin Qays berkata: "Orang hasud tidak dapat senang dan orang bakhil tidak berbudi dan tidak dapat dijadikan kawan orang yang selalu jemu dan tidak ada kemanusiaan bagi pendusta. Dan tidak dapat diterima pendapat orang yang kianat dan tiada budi bagi orang yang rosak moral (tidak berakhlak).

Seorang hakiem (cendiakiawan) berkata: "Belum pernah saya melihat seseorang zalim menyerupai orang yang dianiaya daripada penghasud."

Muhammad bin Sirin bertanya: "Saya tidak dapat menghasud orang atas sesuatu daripada dunia, jika ia ahli syurga maka bagaimana saya akan iri hati padahal ia ahli syurga dan jika ia ahli neraka maka untuk apa hasud terhadap orang yang bakal masuk neraka?"

Alhasan Albashri berkata: "Hai Anak Adam, mengapakah engkau iri hati terhadap saudaramu, maka jika Allah s.w.t. memberi sesuatu kepada orang yang kau hasud itu kerana kemuliaannya disisi Allah s.w.t. maka untuk apakah kau hasud kepada orang yang dimuliakan Allah s.w.t., jika tidak demikian maka untuk apakah kau hasud kepada orang yang akan masuk keneraka?"

Abul Laits berkata: "Tiga macam orang yang tidak akan diterima doanya iaitu:

  • Orang yang makan haram

  • Orang yang tidak suka ghibah (membicarakan kejelekkan orang)

  • Siapa yang didalam hatinya ada hasud/irihati terhadap kaum muslimin

Ibn Syihab (Azzubri) dari Salim dari ayahnya (Ibn Umar) r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Tidak boleh seorang hasud kecuali dalam dua macam iaitu:

  • Seorang yang diberikan Allah s.w.t. kepandaian dalam Al-Quran maka digunakan siang malam (diamalkan)

  • Seseorang yang diberikan Allah s.w.t. kekayaan maka ia bersedekah siang malam.
    Ertinya: Orang boleh hasud untuk sedemikian ini

Abul Laits berkata: "Yakni rajin sesungguh-sungguhnya ingin meniru perbuatan itu dalam ilmu dan kekayaannya, maka ini adalah baik. Maka jika ia ingin berubah orang yang baik itu maka ia jahat kerana Allah s.w.t. telah berfirman (Yang berbunyi): "Wala tatamannau maa fadhdhalallhu ba'dhakum ala ba'dhin." (Yang bermaksud): "Jangan menginginkan aoa yang diberikan Allah sebagai kurnia kepada setengahmu atas yang lain." Dalam ayat yang lain pula Allah s.w.t. berfirman (Yang berbunyi): " Was'alullaha min fadh lihi." (Yang bermaksud): "Kami sendiri minta kepada Allah dari kurniaNya."

Maka kewajipan tiap muslim membersihkan dari dari hasud sebab hasud itu menentang hukum Allah s.w.t. dan ketentuan kurnia yang diberikan Allah s.w.t. kepada seseorang hamba yang diridhoNya.

Al-alaa' bin Abdurrahman dari ayahnya dari Abuhurairah r.a. berkata: "Ia bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. tentang kewajipan seorang muslim terhadap sesama muslim?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Hak kewajipan seorang muslim terhadap muslim yang lain ada enam iaitu:

  • Jika bertemu harus diberi salam

  • Jika mengundang harus didatangi

  • Jika diminta nasihat harus ditunjukkan yang benar (dinasihati)

  • Jika bersin dan mebaca Alhamdulillah harus didoakan dengan berdoa Yarhamukallah

  • Jika sakit harus diziarah

  • Jika mati harus dihantar jenazahnya

Abul Laits meriwayatkan dengan sanandnya dari Anas bin Malik r.a. berkata: "Saya telah menjadi pelayan Nabi Muhammad s.a.w. sejak berumur lapan tahun dan pertama yang diajarkan Nabi Muhammad s.a.w. kepadaku: "Ya Anas, tetapkan wudukmu untuk sembahyang supaya dicinta oleh Malaikat yang menjagamu, dan ditambah umurmu. Ya Anas, mandilah dari janabat dan sempurnakan didalam mandi itu sebab dibawah tiap helai rambut ada janabat." Saya bertanya: "Bagaimana menyempurnakannya?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Puaskan sampai kedalam rambut-rambutmu dan bersihkan benar kulitmu, supaya engkau keluar dari tempat mandi sudah diampunkan dosa-dosamu. Ya Anas, jangan engkau tinggalkan sembahyang dhuha sebab itu sembahyangnya orang-orang awwaabiin (yang taubat kemabali kepada Allah s.w.t.) dan perbanyakkan sembahyang malam dan siang sebab selama engkau sembahyang maka Malaikat mendoakan untukmu. Hai Anas, jika engkau berdiri sembahyang makategakkan dirimu dihadapan Allah s.w.t. dan jika rukuk maka letakkan kedua tapak tangan dilututmu dan renggangkan jari-jarimu dan renggangkan kedua lenganmu dari pinggangmu, dan bila bangun dari ruruk maka tegakkan sehingga kembali semua anggota ditempatnya, dan jika sujud maka letakkan wajahmua ditanah dan jangan sebagai burung yang menyucuk makanan dan jangan kau hamparkan kedua lenganmu sebagaimana pelanduk, dan jika duduk diantara dua sujud maka jangan sebagaimana duduk anjing dan letakkan kedua bokongmu diantara dua kaki dan letakkan bahagian atas tapak kaki ditanah sebab Allah s.w.t. tidak melihat sembahyang yang tidak sempurna rukuk sujudnya. Dan jika dapat engkau tetap berwuduk siang malam maka kerjakanlah, sebab jika tiba mati kepadamu engkau sedang berwuduk, maka engkau tidak luput dari mati syahid. Hai Anas, jika engkau masuk kerumahmu maka berilah salam kepada keluargamu, supaya banyak berkat rumahmu dan jika engkau keluar untuk hajat maka beria salam pada tiap muslim yang bertemu kepadamu supaya masuk manisnya iman dalam hatimu, dan kila terkena dosa ketika keluar maka akan kembali sudah diampunkan dosamu. Hai Anas, jangan sampai diwaktu siang dan malam engkau mendendam dengki kepada seorang muslim sebab itu dari ajaranku maka siapa yang mengikuti ajaranku bererti cinta kepadaku dan siapa yang cinta kepadaku maka ia bersamaku disyurga. Hai Anas, jika engkau melakukan dan mengingati wasiatku ini, maka tidak ada sesuatu yang lebih suka daripada maut sebab disitulah istirehatmu."

Didalam ajaran Nabi Muhammad s.a.w. ini dinyatakan bahawa membersihkan hati daripada dengki dan hasud kepada seseorang muslim termasuk Sunnaturrasul yang menjadi tanda cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w. bagi siapa yang melakukannya, bahkan bersama Nabi Muhammad s.a.w. siyurga. Maka wajib tiap muslim membersihkan hatinya dari rasa dengki dan hasud sebab termasuk amal yang utama.

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Anas r.a. berkata: "Ketika kami dimasjid bersama Nabi Muhammad s.a.w. tiba-tiba Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: ""Akan masuk kepadamu seorang ahli syurga sambil memegang kedua kasutnya dengan tangan kirinya." Maka tiba-tiba masuk seorang sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. itu dan sesudah memberi salam ia duduk bersama kami. Kemudian pada esok harinya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda pula dan masuk kembali orang itu seperti keadaan kelmarin dan hari ketiga Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, juga sama seperti hari pertama dan kedua, dan ketika orang itu bangun untuk kembali diikuti oleh Abudullah bin Amr Al-ash dn berkata kepada orang itu: "Telah terjadi pertengkaran sedikit antaraku dengan ayahku sehingga aku bersumpah tidak akan masuk kerumah selama tiga malam, maka jika engkau tidak keberatan maka saya akan bermalam dirumahmu selama itu?" Jawabnya: "Baiklah." Anas berkata: "Abdullah bin Amr menceritakan bahawa ia bermalam dirumah orang itu dan ternyata bahawa orang itu tidak bangun malam, hanya jika tidur berzikir sehingga bangun fajar dan jika berwuduk sempurna dan sembahyang dengan khusyuk dan tidak puasa sunnat. Ddemikian saya perhatikan kelakuannya sampai tiga hari tiga malam, tidak lebih dari itu dan hanya saja ia tidak berkata-kata kecuali yang baik-baik. Dan setelah tiga malam saya merasa bahawa ia tidak mempunyai amal yang berlebihan dan saya kata kepadanya: "Ssebenarnya antara ku dengan ayahku tidak ada apa-apa, tetapi saya telah mendengar Nabi Muhammad s.a.w. bersabda didalm tiga majlis: "Akan tiba padamu seorang ahli syurga." tiba-tiba engkau datang dan kerana itu saya ingin mengetahui amalmu, maka saya berusaha bermalam dirumahmu untuk meniru amalmu tetapi ternyata kepadaku bahawa engkau tidak berlebihan, maka apa yang kiranya menyebabkan engkau sehingga Nabi Muhammad s.a.w. bersabda sedemikian?" Jawabnya: "Tidak lain melainkan apa yang sudah engkau lihat itu." Maka pergilah aku, tetapi lalu dipanggil olehnya dan berkata: "Amalku tidak lebih melainkan apa yang engkau saksikan itu, cuma saja saya tidak irihati atau dengki pada seseorang muslim terhadap segala yang ia dapat." Maka saya katakan: "Inilah yang menyampaikan engkau sehingga Nabi Muhammad s.a.w. bersabda sedemikian itu dan itulah yang tidak dapat kami lakukan."

Seorang cendikiawan berkata: "Orang hasud telah menentang Allah s.w.t. dengan lima hal iaitu:

  • Kerana ia membenci nikmat Allah s.w.t. terhadap orang lain

  • Dia tidak suka pembahagian Allah s.w.t. untuk dirinya seolah-olah ia berkata: "Mengapa Engkau membagi begini?"

  • Ia bakhil terhadap kurniaan Allah s.w.t.

  • Dia menghina waliyullah sebab ia ingin tercabut nikmat Allah s.w.t. yang diberikan kepadanya

  • Dia membantu kepada iblis laknatullah

Orang yang hasud tidak memperolehi dalam pergaulan kecuali hina dan kerendahan dan dari Malaikat kecuali laknat (kutukan) dan benci, dan jika sendirian hanya kerisauan dan duka dan ketika nazak (sakartul maut) hanya kesukaran, keberatan dan ketakutan dan dihari kiamat kecuali malu dan siksa, kemudian dalam neraka tempat bakarannya."


Permalink
gravatar

Doa Yang Menolak Zina

“Ustaz, di manakah saya boleh mencari kekuatan untuk menolak zina?” seorang anak muda bertanya kepada saya.

“Carilah ia di dalam Solat. Di dalam doa” saya membalas email yang dikirimnya.

Anak muda itu terasa hampa. Barangkali beliau kecewa kerana saya memberitahunya apa yang dia sudah tahu.

Solat.

Doa.

Sudah berapa kali dia bersolat dan berdoa, tetapi kekuatan yang dicari tidak pernah ada. Seperti Allah tidak menjawab permintaannya. Solat yang hampa. Doa yang terbang dibawa angin masa.

Bukankah Allah Subhanahu wa Ta’aala sendiri memberi jaminan bahawa Solat itu mencegah manusia daripada kemungkaran, terutamanya zina? Itu yang disebut di dalam al-Quran:

“Bacalah serta ikutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada Al-Quran, dan dirikanlah Solat. Sesungguhnya Solat itu mencegah daripada perbuatan yang Fahsya’ dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar. Dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan” [Al-Ankabut 29: 45]

Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya. Seandainya solat anak muda itu dan kita semua tidak mampu mencegah diri daripada kejahatan, terutamanya Zina, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan solat yang kita kerjakan. Bukan sahaja daripada aspek cukup Syarat atau sah tidak sahnya solat itu, malah intipati dan maknanya.

Ya, sejauh mana kita memaksudkan apa yang kita minta?

Sampaikah kepada permintaan seorang anak muda bernama Yusuf?

TELADAN MUJAHADAH YUSUF

Imra’ah al’Aziz yang dikenali sebagai ‘Zulaikha’ itu, tidak pernah berputus asa. Di satu ketika dia menafikan dirinya sebagai orang yang memaksa zina ke atas Yusuf. Tetapi setelah kejadian baju Yusuf terkoyak akibat kejadian sebelumnya (Yusuf 12: 25) tersebar ke seluruh kota (Yusuf 12:30), Zulaikha menjadi liar. Malunya hilang, malah semakin mengganas pada tindakannya untuk mendapatkan Yusuf. Wanita-wanita bangsawan temannya dihimpunkan. Mereka dijamu makan. Setiap tangan diberikan pisau untuk memotong dan Zulakhai memaksa Yusuf tampil ke khalayak menampakkan diri.

Daripada Anas bin Malik radhiyallaahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Yusuf telah diberikan separuh daripada kecantikan diri” [Al-Bukhari no. 7517 dan Muslim no. 162]

Separuh kecantikan diberikan kepada Yusuf.

Separuh lagi diagihkan kepada seluruh manusia lain!

Giliran mereka pula dibius cinta. Tangan tidak terasa bahawa pisau tidak lagi memotong makanan. Jari-jari mereka luka dipotong pisau kerana panahan rupa paras Yusuf. Zulaikha mengeluarkan ‘buah’ manusia yang mabuk cinta. Mereka belum kena lagi. Sekarang tahukah mereka apa yang dihadapinya saban hari selama ini?

“(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi dia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau dia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah dia akan dipenjarakan, dan (Yusuf) akan menjadi daripada orang-orang yang hina.“ [Yusuf 12: 32]

Kini Zulaikha tidak lagi sendirian. Kemahuannya diakui oleh seluruh wanita yang melihat susuk wajah Yusuf. Zulaikha berjaya menjustifikasikan kehendak nafsunya. Maksiat bukan lagi maksiat. Kini maksiat adalah suatu mangsa keadaan!

Malah dayusnya al-’Aziz dan betapa berkuasanya Zulaikha sebagai First Lady, dia bebas menentukan siapakah yang patut dihumban ke penjara dan siapa yang tidak. Andai Yusuf enggan menerima ajakan Zulaikha, harga yang perlu dibayar adalah PENJARA.

Apakah tekanan yang Yusuf hadapi?

Anak muda, peluang ada, kecenderungan bisa terjadi, menolaknya pula bererti merengkuk di penjara. Sepadankah tekanan itu dengan apa yang kalian sebagai anak muda, hadapi berkaitan zina?

Atau kalian dengan sengaja gemar berkelakuan lemah diri? Justeru mudah memberi alasan, bahawa keadaan adalah ‘pihak’ yang patut dipersalahkan?

Sesungguhnya Yusuf mendengar ugutan itu. Beliau tahu di hadapannya hanya dua. Zina atau penjara.

MENCARI KEKUATAN DENGAN SOLAT DAN DOA

Yusuf tinggal sendiri.

Al-’Aziz sebagai bapa angkatnya, suami kepada Zulaikha dan Menteri Utama negara Mesir, tidak berperanan untuk mencegah hal ini. Beliau berada di kemuncak dayus.

Tiada tempat lain untuk Yusuf mencari kekuatan melainkan dengan Solat dan Doa.

Yusuf (merayu kepada Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan jadilah aku daripada golongan orang jahil yang tidak mengamalkan ilmunya” [Yusuf 12: 33]

Doa Yusuf itu sarat dengan makna. Yusuf benar-benar menyatakan kebergantungannya kepada Allah. Sesungguhnya tanpa bantuan Dia, Yusuf lemah untuk mendepani tipu daya wanita-wanita jahat itu. Sesungguhnya doa tidak boleh datang daripada hati yang sombong. Meminta sesuatu daripada Allah yang dirinya tidak berasa kepada keperluannya. Jika Allah beri, dia terima. Jika Allah tidak beri, dia akan buat sendiri. Sombongnya hati manusia yang meminta dan berdoa tidak dengan bahasa seorang hamba.

Yusuf juga menunjukkan kepada kita kuasa sebuah doa. Doa menguji sama ada kita benar-benar mahu kepada apa yang diminta, atau kita memintanya tanpa kesungguhan dan makna. Doa akan membunuh sifat hipokrit bahawa mulut meminta sesuatu, namun hati tidak bersungguh memaksudkannya.

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan engkau yakin ia akan dikabulkan, ketahuilah bahwa Allah tidak menerima doa daripada hati yang lalai”. (Hadith riwayat al-Tirmidzi, dihasankan oleh Sheikh al-Albani)

ENGKAU DAN DOAMU


Dirimu minta daripada Allah agar dihindarkan daripada zina. Namun sejauh mana hatimu membenci zina? Sejauh mana engkau mahu menjauhkan diri daripadanya? Adakah mulut meminta perlindungan, ketika hati dibiarkan melayan kecenderungan?

Doa mengajar kita memaksudkan apa yang kita minta. Supaya dengan doa itu, akhirnya hanya dirinya dan Allah yang benar-benar tahu, sejauh mana permintaan itu disungguhkan.

“Apabila sesiapa daripada kalangan kamu berdoa, maka hendaklah dia menekadkan apa yang diminta. Dan janganlah sekali-kali beliau berkata: Ya Allah jika Engkau mahu, berikanlah kepadaku apa yang kuminta. Sesungguhnya tiada suatu permintaan pun yang berat bagi Allah untuk menunaikannya” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Doa menyaring hasrat hati.

Hanya hati yang berjaya membulatkan permintaan, bersih daripada rasa berbelah bagi antara mahu meninggalkan maksiat dengan adanya rasa sayang untuk apa yang berlaku itu tamat.

Yusuf benar-benar memaksudkannya. Dirinya semakin lemah dengan tekanan yang memuncak. Justeru jika satu-satunya cara untuk selamat adalah dengan merealisasikan ugutan Zulaikha, sesungguhnya penjara itu lebih disukainya berbanding zina yang membinasakan.

HATI YANG IKHLAS

Di sinilah titik IKHLAS pada hati yang meminta. Hati yang bersih daripada semua pihak selain daripada Allah.

“Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” [Yusuf 12: 34]

Allah Maha Mendengar permintaanmu.

Allah Maha Mendengar suara halus di dalam hati yang meminta itu dan sejauh mana permintaan itu dimaksudkan.

Allah juga Maha Mengetahui terhadap apa yang berlaku.

Zulaikha mahukan engkau terpenjara untuk membalas dendam.

Allah memberikan engkau penjara seperti yang diminta, bahawa penjara itu memiliki hikmah besar yang menanti, seperti yang berada di dalam Ilmu-Nya.

“Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk ke Neraka Jahannam dalam keadaan yang hina” [Ghafir 40: 60]

Justeru anak muda, saat engkau mendepani kehidupan yang sangat mengajak kepada zina ini, perkukuhkanlah Solat dan Doamu untuk mencari ketulusan hati.

Hati yang benar-benar membenci zina dan kejahatan. Hati yang benar-benar menolaknya.

Seperti yang terungkap di dalam sebuah DOA!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com


Permalink

Islamic Hijri Calendar

Followers

leave ur comments here ^_^

visit me on Facebook ^_^

Popular Posts Last 7 days

Popular Posts All Time