Tuntutlah ilmu sebelum ilmu itu diangkat. Ilmu diangkat dengan meninggalnya para ulama. Orang yang berilmu dan orang yang menuntut ilmu memiliki kedudukan yang sama dalam hal pahala. Sesungguhnya manusia itu hanya ada dua, orang yang berilmu dan orang yang menuntut ilmu. Dan tidak ada kebaikan pada diri manusia yang selainnya.

(Abu Darda')

siapa saya?

My photo
hanya seorang insan yang ingin membersihkan diri ini dari segala dosa..andai saja air mata ini dapat membasuh segala dosaku,maka ku pohon padaMU ya Allah janganlah Engkau keringkan ia dari mengalir ke pipi..aku hanyalah hambaMu yang hina..yang mengharap pengampunan dariMu..yang mencari jalanMu..yang akhirnya pasti kembali padaMu..

Archives

gravatar

Aku Mahu Berubah...!

Aku berasal dari keluarga yang serba sederhana. Alhamdulillah, aku dilahirkan oleh ibuku yang beragama Islam. Aku diberi didikan yang sempurna dalam pelajaran. Namun, aku kekurangan satu perkara yang amat besar dan penting buat diriku, iaitu didikan agama. Bukan maksudku ibu dan bapaku tidak mendedahkan langsung mengenai agama Islam kepadaku. Mereka mengajarku cara mengerjakan solat, berpuasa di bulan Ramadhan dan perkara-perkara asas yang perlu aku tahu sebagai seorang Islam.

Akan tetapi, kami sekeluarga tidak mengerjakan ibadah yang terpenting sebagai hamba-Nya, iaitu solat yang merupakan tiang agama. Lalu aku membesar sebagai seorang yang boleh dikatakan bijak dalam pelajaran, tetapi tidak mengerjakan solat. Sewaktu bulan Ramadhan, kami sekeluarga berpuasa, kami tunaikan zakat, tetapi kami tidak menunaikan solat. Bapa dan abangku yang sepatutnya wajib menunaikan solat Jumaat, tidak menjalankan tanggungjawab mereka. Hari demi hari, kami hanyut dengan kenikmatan dunia.


Kakakku yang sudah menjadi seorang remaja,kini mula membuka auratnya. Memakai pakaian yang ketat, nipis dan menampakkan bentuk tubuh serta tidak memakai tudung sepertimana digariskan syariat. Pergaulannya pula semakin bebas walaupun berkali-kali ditegur oleh kedua ibubapaku. Hari demi hari, aku juga meningkat dewasa. Kini, aku berada di sekolah menengah. Aku sentiasa menjadi pelajar terbaik tingkatan di sekolahku. Aku gembira kerana dapat membanggakan keluargaku terutamanya ibu dan bapaku.

Oleh kerana suasana kampungku di mana remaja-remaja bergaul bebas, tidak menutup aurat dan sebagainya, aku juga sebagai hamba Allah yang amat jahil tidak lepas daripada melakukan perkara yang sama. Aku tidak menutup aurat dengan tidak memakai tudung. Kawan-kawanku pula ramai yang memakai tudung, akan tetapi memakai pakaian yang ketat dan berlengan pendek.


Suatu hari, aku dan kakakku menyertai sebuah kelab kesenian dan kebudayaan, di mana kami semua diajar pelbagai jenis tarian tradisional yang terdapat di Malaysia. Kami berdua semakin bergiat aktif dalam bidang ini dan melakukan pelbagai persembahan di seluruh Malaysia. Aku dan kawan-kawanku sangat rapat antara satu sama lain, boleh dikatakan kami sudah seperti adik-beradik. Namun, semasa aku berada di Tingkatan 4, aku tidak terlibat lagi dalam kelab kebudayaan itu. Semakin lama, aku semakin tertarik dengan imej bertudung. Lalu aku mula memakai tudung dan memakai pakaian yang berlengan panjang. Walaubagaimanapun, aku masih tidak mengerjakan solat, sebagai seorang Muslim yang sepatutnya.

Aku mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM. Aku amat gembira kerana aku sebenarnya seorang yang sangat pemalas dan tidak suka mengulangkaji pelajaran. Kemudian, aku mendapat tawaran ke sebuah kampus sebagai pelajar program satu tahun jurusan Sains Fizikal. Aku menerima tawaran itu kerana UPU aku mengalami sedikit masalah.

Dan memang inilah takdirku.

Aku mula tertarik dengan keindahan Islam. Ramai sahabat-sahabatku yang menutup aurat dengan sempurna dan mengerjakan ibadah solat di masjid. Kehidupan di sini memang berjaya mengubah diriku menjadi seorang hamba Allah yang taat kepada perintah-Nya. Aku mula mengerjakan solat. Memakai tudung yang labuh menutupi dada, sesuai dengan syariat Islam. Aku bangun jam 5 pagi supaya aku sempat mandi dan bersiap-siap untuk ke masjid. Solat berjemaah juga semakin hari semakin ku gemar melakukannya. Solat Maghrib dan Isya' juga ku tunaikan secara berjemaah di masjid. Pendek kata, jika aku berkesempatan untuk ke masjid, aku akan solat berjemaah di sana. Aku sentiasa berusaha menambahkan ilmuku mengenai Islam. Aku amat bersyukur kerana diberi hidayah dan dibukakan pintu hatiku. Kini aku sedar, betapa indahnya Islam itu dan betapa mudahnya perintah Allah yang mesti kita laksanakan sekiranya kita benar-benar ikhlas untuk mengerjakannya.


Namun, aku juga berasa sedih yang amat sangat. Aku bakal meninggalkan kampus yang telah meninggalkan banyak kenangan dan kesan terhadap diriku. Aku mula berasa bimbang. Bimbang jika diriku terpedaya lagi dengan hasutan syaitan memandangkan keluargaku masih seperti dulu. Aku pulang juga ke rumahku. Aku menjangkakan, dugaan demi dugaan terpaksaku tempuhi.

Aku amat sedih kerana aku takut keluargaku tidak dapat menerima diriku jika aku menyatakan hasratku untuk berubah. Berubah dengan sentiasa memakai tudung labuh dan ke masjid untuk solat berjemaah. Aku sangat mengerti akan perangai mereka yang mudah salah faham jika perkara itu melibatkan agama. Aku hanya mampu berdoa agar Allah memberi hidayah kepada mereka, terutamanya kepada kedua ibubapaku. Setiap hari, aku hanya mampu menangis mengenangkan nasibku ini dan berdoa agar Allah mempermudahkan jalanku untuk beribadah.

Semoga suatu hari nanti, aku mampu menjadi seorang muslimah yang solehah dan berjuang demi Islam yang tercinta. Pergilah wahai syaitan-syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan manusia! Ya Allah, Kau bantulah aku dalam perjuanganku untuk menjadi pejuang agamaMu..Allahuakbar!


Permalink
gravatar

Mencari Teman Ke Syurga

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Teman yang baik adalah anugerah yang tidak ternilai daripada Allah. Teman yang baik penunjuk jalan, penguat langkah dan azam, pendamping yang akan selalu mengingatkan untuk bersungguh-sungguh berusaha membuat bekal negeri abadi. Manusia yang lemah seperti kita tentunya memerlukan teman, untuk berkongsi suka dan duka, untuk mengingatkan kala terleka, untuk menemani kala beramal ibadat agar lebih bersungguh-sungguh, demi bersama meraih syurgaNya. Seorang Nabi Allah, Nabi Musa AS pun memerlukan teman lantas baginda berdoa kepada Allah agar mengurniakan teman penguat langkah, teman ke syurga.

"Dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, iaitu (Harun), saudaraku, teguhkanlah kekuatanku dengan (adanya) dia, dan jadikanlah dia teman dalam urusanku, agar kami banyak bertasbih kepadaMu, dan banyak mengingatiMu, sesungguhnya Allah Maha Melihat Keadaan kami" (20:29-35)

Kisah Nabi Musa memohon teman dari Allah untuk membantu menguatkannya membuktikan betapa kita sebagai manusia sangat memerlukan teman untuk menemani dalam urusan hidup seharian dan juga untuk sama-sama beribadat kepada Allah. Bukankah seorang anak Adam itu akan lebih bersungguh-sungguh mengejar redhaNya dan meningkatkan segala amal apabila mempunyai teman yang seiring dan sejalan?

Saidina Umar mengatakan, "Tiada satu kebaikan pun yang dianugerahkan kepada seorang hamba sesudah Islam, selain saudaranya yang soleh. Apabila seseorang di antara kamu merasakan sentuhan kasih sayang dari saudaranya, maka hendaklah ia berpegang kepadanya" Malah, Saidina Umar meminta kita 'berpegang kepadanya', iaitu bermakna tidak melepaskan dan menghargai teman tersebut kerana kita sebenarnya dianugerahkan kebaikan yang sangat besar apabila dikurniakan teman yang soleh.

Namun, berusahakah kita untuk menjadi teman ke syurga kala mencari teman ke syurga? Jadikah kita sahabat yang baik yang sentiasa mengajak teman kita kepada kebaikan, yang sentiasa mengingatkan teman kita akan janji-janji Allah, yang menunjukkan kepada teman kita qudwah yang baik? MENJADI TEMAN KE SYURGA Menjadi teman ke syurga dan mencari teman ke syurga, segalanya hanya berlaku apabila asasnya didasari taqwa yang kuat. Taqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dengan ketaqwaan yang layak bagiNya.

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepadaNya" (3:102)

Ayat ini mengisyaratkan kepada kita untuk membiarkan hati kita berusaha keras mencapai taqwa menurut batas kemampuan yang ada pada dirinya. Setiap kali ia mendekat kepada Allah dengan ketaqwaan maka akan terbukalah hatinya untuk berusaha mencapai kedudukan yang lebih tinggi dari apa yang telah dicapainya, dan merindukan darjat yang ada di atas apa yang telah diraihnya lalu selalu memandang ke arah kedudukan yang lebih tinggi lagi.

Muhammad Ahmad Rasyid mengatakan "ketinggian itu hanya boleh diraih dengan kelelahan", memberitahu kepada kita bahawa kita perlu berusaha bersungguh-sungguh utk mendapat darjat ketinggian taqwa di sisi Allah. Apa kaitan taqwa dan teman ke syurga? Taqwa dalam diri sahaja yang akan mendorong seseorang mencari teman ke syurga, menemaninya dalam kehidupan siang harinya, mendampinginya dalam ibadah malamnya. Dan seseorang yang benar-benar meletakkan taqwanya kepada Allah sahaja akan bersungguh-sungguh (sehingga kelelahan tetapi) terus ingin meningkatkan darjatnya di sisi Allah dan dia benar-benar memerlukan teman untuk menguatkan urusan siang dan malamnya, sebagai hamba, dan khalifah. Ciri taqwa ini akan menjadikan dirinya sendiri adalah seorang teman ke syurga, lantas dia layak untuk mendapat teman ke syurga yang hanya didapati melalui anugerah dari Allah. Teman yang akan sentiasa mengingatkan, tatkala kelelahan, akan janji yang menjadi asas perhubungan ini, asasnya hanya kerana Allah, lantas itu kita menjadi "menjadi teman ke syurga".



Kita bertemu atas kesungguhan dan ikrar kita pada jalan Allah, dan perpisahan kita pun hanyalah kerana Allah juga kerana walau apapun matlamat kita hanya satu, meraih syurgaNya. "Didiklah diri kamu kepada cinta pada Allah, bermula pada diri kamu. Tingkatkan penghayatan diri kamu pada cinta pada Allah, berusaha membaiki dan meningkatkan diri kamu menjadi hamba Allah yang lebih taat, nescaya kamu akan menjadi teman ke syurga dan Allah akan mengurniakanmu teman ke syurga."

Marilah sejenak kita mengambil pengajaran dari Hadith Qudsi, dari Allah, Pencipta dan Pemilik kasih sayang dan cinta, yang menitipkan kasih sayang antara hati-hati, yang mengekalkan ikatan antaranya, yang memperteguhkan janji ikrar mereka untuk menjadi 'teman ke syurga', mencari redhaNya yang Esa, Pemberi Segalanya, Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. "CintaKu mesti bagi orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, CintaKu mesti bagi orang-orang yang saling bersilaturahim kerana Aku, CintaKu mesti mesti bagi orang yang saling menasihati kerana AKu, CintaKu mesti bagi orang-orang yang saling mengunjungi kerana Aku, CintaKu mesti bagi orang-orang yang saling memberi kerana Aku" (Hadith Qudsi) Lihatlah betapa Allah menjanjikan cintaNya yang Maha Agung kepada "teman ke syurga". Besarnya kemuliaan Allah janjikan kepada mereka yang mendasari perhubungan kerana sama-sama mahu mengejar redhaNya, menjadi teman ke syurga lantas dikurniakan teman ke syurga.

Ayuh, perbaiki diri !


Permalink
gravatar

Berjuang.. Tetapi Tidak Ikhlas?

Ramai orang yang berjuang. Tapi tidak seramai itu pula yang berjuang dengan ikhlas. Melalui interaksi dengan Kitabullah dan Nabi Muhammad saw., para sahabat amat memahami bahawa memurnikan (mengikhlaskan) orientasi dan amal hanya untuk Allah adalah suatu keniscayaan yang tidak dapat ditawar-tawar lagi.

Mereka meyakini sepenuhnya bahawa hal itu merupakan kunci untuk memperoleh pertolongan dan dukungan Allah dalam setiap pertempuran yang mereka terjuni, menghadapi musuh-musuh mereka, baik musuh dari dalam diri mahupun dari luar diri mereka.

Mereka menghayati firman Allah swt.:
“Tidaklah sepatutnya bagi penduduk Madinah dan orang-orang Badwi yang berdiam di sekitar mereka, tidak turut menyertai Rasulullah (pergi berperang) dan tidak patut (pula) bagi mereka lebih mencintai diri mereka daripada mencintai diri Rasul. Yang demikian itu ialah kerana mereka tidak ditimpa kehausan, kepayahan, dan kelaparan pada jalan Allah. Dan tidak (pula) menginjak suatu tempat yang membangkitkan amarah orang-orang kafir, dan tidak menimpakan suatu bencana kepada musuh, melainkan dituliskanlah bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amal soleh. Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik.” [At-Taubah (9):120]

Para sahabat memahami hal itu dan mengaplikasikannya dalam diri mereka. Maka terlihat dalam perilaku mereka. Syadad bin Al-Hadi mengatakan, seorang Arab gunung datang kepada Rasulullah saw. lalu beriman dan mengikutinya. Orang itu mengatakan, “Aku akan berhijrah bersamamu.” Maka Rasulullah saw. menitipkan orang itu kepada para sahabatnya.

Saat terjadi
Perang Khaibar, Rasulullah saw. memperoleh ghanimah (rampasan perang). Lalu beliau membahagi-bahagikannya dan menyisihkan bahagian untuk orang itu seraya menyerahkannya kepada para sahabat. Orang itu biasa menggembalakan binatang ternak mereka.

Ketika ia datang, para sahabat menyerahkan bahagiannya itu. Orang itu mengatakan, “Apa ini?” Mereka menjawab, “Ini adalah bahagianmu yang dibahagikan oleh Rasulullah saw.” Orang itu mengatakan lagi, “Aku mengikutimu bukan kerana ingin mendapatkan bahagian seperti ini. Aku mengikutimu semata-mata kerana aku ingin tertusuk dengan anak panah di sini (sambil menunjuk tenggorokannya), lalu aku mati lalu masuk syurga.”

Rasulullah saw. mengatakan,
“Jika kamu jujur kepada Allah, maka Dia akan mengizinkan keinginanmu.” Lalu mereka berangkat untuk memerangi musuh. Para sahabat datang dengan memapah orang itu dalam keadaan tertusuk panah di bahagian tubuh yang ditunjuknya. Rasulullah saw. mengatakan, “Inikah orang itu?” Mereka menjawab, “Ya.” Rasulullah saw. berkata, “Ia telah jujur kepada Allah, maka Allah memakbulkan keinginannya.”

Lalu Rasulullah saw. mengkafaninya dengan jubah beliau kemudian mensolatinya. Dan di antara doa yang terdengar dalam solatnya itu adalah: “Allaahumma haadza ‘abduka kharaja muhaajiran fii sabiilika faqutila syahiidan wa ana syahidun ‘alaihi”
(Ya Allah, ini adalah hamba-Mu. Dia keluar dalam rangka berhijrah di jalan-Mu, lalu ia terbunuh sebagai syahid dan aku menjadi saksi atasnya).” (Diriwayatkan oleh An-Nasai)


Anas Bin Malik ra. menceritakan bahawa seorang laki-laki datang kepada Rasulullah saw. seraya mengatakan, “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku orang hitam, buruk rupa, dan tidak punya harta. Jika aku memerangi mereka (orang-orang kafir) hingga terbunuh, apakah aku masuk syurga?” Rasulullah saw. menjawab, “Ya.” Lalu ia maju dan bertempur hingga terbunuh.

Ia lalu dibawa kepada Rasulullah saw. dalam keadaan sudah meninggal. Rasulullah saw. mengatakan, “Sungguh Allah telah membuat indah wajahmu, membuat harum baumu, dan membuat banyak hartamu.” Beliau kemudian melanjutkan, “Aku telah melihat kedua isterinya dari kalangan bidadari mereka berebut jubah yang dikenakannya. Mereka masuk antara kulit dan jubahnya.” (Diriwayatkan oleh Al-Hakim)

Begitulah para sahabat mempraktikkan ikhlas dalam perjuangan. Dan begitu pulalah seharusnya kita mempraktikkannya. Dan jika ada niat yang tidak jelas dalam jiwa selain keikhlasan, maka hendaknya kita ingat hal-hal berikut ini:

Pertama, bahawa Allah mengawasi, mengetahui, mendengar, melihat kita. Firman-Nya:
“Dan Dialah Allah (Yang Disembah), baik di langit mahupun di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahasiakan dan apa yang kamu lahirkan; dan mengetahui (pula) apa yang kamu usahakan.” [Al-An'am (6): 3]

Katakanlah: “Jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahui.”

Allah mengetahui apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. [Ali Imran (3): 29]

Kedua
, bahawa orang yang riya (ingin dilihat orang) atau sum’ah (ingin didengar orang) dalam beramal akan dibongkar oleh Allah semenjak di dunia sebelum di akhirat. Dan mereka tidak mendapatkan bahagian dari amal mereka selain dari apa yang dinginkannya.

Rasulullah saw. bersabda,
“Siapa yang ingin (amalnya) didengar orang, maka Allah akan membuatnya di dengar; dan siapa yang ingin (amalnya) dilihat orang, maka Allah akan membuatnya dilihat orang.” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)

Ketiga, bahawa kekalahan yang diderita kaum Muslimin dewasa ini adalah akibat kezaliman kita sendiri. Firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikitpun, akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri.” [Yunus (10): 44]

Keempat
, bahawasanya ketidakikhlasan menghancurkan amal, besar mahupun kecil. Dan dengan demikian bererti kita telah membuat perjuangan kita bertahun-tahun sia-sia belaka. Allah swt. berfirman:
“Dan sesungguhnya telah merugilah orang yang telah melakukan kezaliman.” [Thaha (20): 111].

“Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.” [Al-Furqan (25): 23]

Dan Rasulullah saw. bersabda, “Aku benar-benar mengetahui orang-orang dari umatku yang datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan-kebaikan seperti gunung Tihamah. Lalu Allah menjadikannya bagaikan debu yang tertiup angin.”

Tsauban berkata, “Wahai Rasulullah, terangkanlah sifat mereka kepada kami agar kami tidak seperti mereka, kerana kami tidak mengetahui mereka.” Rasulullah saw. menjelaskan, “Mereka adalah termasuk saudara-saudara kamu dan seperti kulitmu. Mereka menggunakan waktu malam seperti yang kamu lakukan, akan tetapi mereka adalah orang-orang yang jika berhadapan dengan larangan-larangan Allah mereka melanggarnya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Kelima, orang-orang yang beramal bukan kerana Allah adalah orang yang pertama dibakar untuk menyalakan neraka. Dalam hadits panjangnya, Rasulullah saw. menjelaskan nasib tiga kelompok manusia yang celaka di hari akhirat kerana beramal dengan riya.

Keenam, orang-orang yang riya’ akan menjadi teman syaitan pada hari kiamat di dalam neraka jahanam. Mereka kekal di dalamnya. Cukuplah bagi kita
kisah Quzman, seperti yang diterangkan oleh Qatadah –semoga Allah meredhainya.

Beliau menjelaskan, “Di antara kami ada orang asing dan diketahui siapa dia. Ia dipanggil Quzman. Adalah Rasulullah saw. setiap disebut namanya selalu mengatakan bahawa dia termasuk penghuni neraka. Saat terjadi Perang Uhud, Quzman terlibat dalam pertempuran sengit sampai berhasil membunuh lapan atau tujuh orang musyrik. Memang dia orang kuat.

Lalu ia terluka lalu dipapah ke rumah Bani Zhufr. Beberapa lelaki dari kaum Muslimin mengatakan kepadanya, ‘Demi Allah, engkau telah diuji hari ini, hai Quzman, maka berbahagialah.’ Quzman menjawab, ‘Dengan apa aku bergembira. Demi Allah sesungguhnya aku berperang tidak lain kerana membela nama kaumku. Jika bukan kerana hal itu aku tidak akan turut berperang. Ketika merasakan lukanya semakin parah, ia mencabut panah dari tempatnya lalu bunuh diri.” (Al-Bidayah Wan-Nihayah, Ibnu Katsir)

Marilah kita bersama ingatkan jiwa kita dengan peringatan-peringatan tersebut agar dalam bergerak, berjuang, dan berkorban (tadhhiyah) senantiasa ikhlas kerana Allah.


Permalink

Islamic Hijri Calendar

Followers

leave ur comments here ^_^

visit me on Facebook ^_^

Popular Posts Last 7 days

Popular Posts All Time