Tuntutlah ilmu sebelum ilmu itu diangkat. Ilmu diangkat dengan meninggalnya para ulama. Orang yang berilmu dan orang yang menuntut ilmu memiliki kedudukan yang sama dalam hal pahala. Sesungguhnya manusia itu hanya ada dua, orang yang berilmu dan orang yang menuntut ilmu. Dan tidak ada kebaikan pada diri manusia yang selainnya.

(Abu Darda')

siapa saya?

My photo
hanya seorang insan yang ingin membersihkan diri ini dari segala dosa..andai saja air mata ini dapat membasuh segala dosaku,maka ku pohon padaMU ya Allah janganlah Engkau keringkan ia dari mengalir ke pipi..aku hanyalah hambaMu yang hina..yang mengharap pengampunan dariMu..yang mencari jalanMu..yang akhirnya pasti kembali padaMu..

Archives

gravatar

Berakhirnya Sebuah Pertemuan

Kringggg!!! Loceng berbunyi menandakan waktu rehat baru bermula. Pelajar-pelajar lain sudah keluar dari kelas masing-masing dan mula membanjiri kawasan kantin sekolah.

Irna hanya mampu menenangkan sahabatnya di sebelah. Dia tahu betapa menderitanya sahabat baiknya itu, namun sebagai insan biasa dia tidak berdaya memberikan bantuan. Hanya sokongan dan semangat yang mampu dihulurkan kepada insan setabah sahabatnya.

"Iman, jom kita pergi kantin. Iman makan sikit. Nanti Iman kena makan ubat," pujuk Irna walaupun dia tahu sahabatnya itu akan menolak. Muka Iman yang pucat lesi ibarat tidak berdarah itu menggigit tangkai jantungnya. Sungguh, dia tidak kuat melihat keadaan sahabatnya sebegitu. Tanpa disedari kolam matanya pecah juga. Ada tangisan halus yang mengiringi air mata tersebut.

"Irna, kenapa ni? Janganlah menangis. Iman tak nak kawan-kawan Iman menangis sebab Iman. Lebih-lebih lagi Irna, sahabat baik Iman dunia akhirat, Insya-Allah," hati Iman bergetar menahan sendu yang berlabuh. Dia tahu perasaan Irna tika itu, namun sebagai hamba Allah yang hanya menumpang di dunia fana ini, dia akur dan pasrah atas segala takdir.

***********

Perkenalan mereka semenjak minggu orientasi untuk pelajar-pelajar baru membuahkan persahabatan yang kekal hingga ke hari ini. Mereka amat serasi bersama memandangkan mereka banyak berkongsi minat yang sama. Hidup yang suram gara-gara terpaksa berjauhan dengan ibu bapa dan keluarga akhirnya diwarnakan dengan suka duka dalam bersahabat. Iman dan Irna sangat bersyukur kerana Allah telah mempertemukan mereka berdua.

Ramai kawan mereka kagum melihat persahabatan mereka berdua. Keakraban mereka yang boleh diibaratkan sebagai isi dengan kuku itu menyebabkan ramai yang menggelar mereka sebagai adik beradik. Segala susah senang, sakit perit mereka dirasakan bersama. Andai salah seorang daripada mereka sakit, seorang lagi akan turut sakit menahan sebak di hati.

Irna termenung lagi. Sejak akhir-akhir ini dia semakin bimbang akan kesihatan Iman. Jika dahulu sahabatnya itu seorang yang ceria, kini segalanya seakan berubah. Walaupun ada senyuman yang terukir di bibir Iman, dia tahu segala derita yang ada di sebaliknya. Dia cuba berlagak tenang dan kuat ketika berhadapan dengan Iman tetapi jauh di lubuk hatinya hanya Allah sahaja yang tahu.

"Iman, tadi Cikgu Athirah ada pesan, kalau Iman sakit, jangan paksa diri pergi kelas, kalau ada apa-apa berlaku susah. Irna tak nak something happen kat Iman," kata-katanya hanya dijawab dengan pandangan mata Iman. Seperti biasa Iman hanya membiarkan bibirnya dihiasi dengan senyuman ikhlas yang selalu diukirkannya.

"Irna, insya-Allah, Iman pun tak nak something bad happen, tapi kita kena ingat, walau apapun yang telah berlaku atau yang akan berlaku, segalanya datang daripada Allah. Kita kena terima dan redha," nafasnya ditarik perlahan sebelum kembali berkata-kata.

"Irna, maafkan Iman ya, sebab dalam tempoh setahun ni Iman banyak menyusahkan Irna, dan terima kasih jugak sebab Irna selalu ada di sisi Iman. Jasa dan pertolongan Irna selama ni mungkin Iman tak sempat nak balas, hanya.."

"Iman, janganlah cakap macam ni. Iman tak menyusahkan Irna pun," Irna pantas memintas kata-kata sahabatnya itu. Dia tidak sanggup untuk mendengar bait-bait kata yang ingin disampaikan oleh Iman.

***********

Seperti biasa keluarga Iman akan datang melawat pada hujung minggu. Irna pula akan menemani Iman. Hubungan Irna dengan keluarga Iman juga semakin baik hari demi hari. Ibu dan ayah Iman sangat berterima kasih kepada Irna kerana telah banyak menolong dan memberikan kata-kata semangat kepada anak perempuan tunggal mereka. Hati ibu mana yang tidak sebak apabila melihat penderitaan si anak. Kalau diikutkan hatinya, ingin sahaja dia menjaga Iman sepenuh masa tetapi dia tidak berdaya. Memandangkan Iman bersekolah di sekolah berasrama, mereka sekeluarga pasrah. Namun, mereka bersyukur sekurang-kurangnya Iman mempunyai seorang sahabat yang baik seperti Irna.

"Iman, Iman dengar cakap ibu sayang," ada titis air di tubir mata ibunya.

"Iman mesti jaga diri Iman baik-baik tau. Ubat tu mesti makan. Kalau Iman sakit, beritahu ibu, beritahu warden. Kalau boleh ibu nak sangat jaga Iman. Ibu sedih tengok anak ibu tanggung sakit sorang-sorang," pelukan dieratkan diiringi dengan tangisan yang berpanjangan. Irna yang tidak dapat menahan kesedihannya juga turut menitiskan air mata . Begitu juga dengan ayah dan adik-beradiknya.

"Ibu, insya-Allah, Iman akan dengar nasihat ibu tapi ibu kena janji dengan Iman. Ibu janganlah nangis. Iman tak sanggup tengok ibu nangis sebab Iman. Ayah, jaga ibu baik-baik. Jangan bagi ibu lemah semangat, boleh ayah? Ibu?" ibu dan ayahnya hanya mampu mengangguk lemah.

"Irna, terima kasih atas segala-galanya. Ibu harap Irna boleh tolong tengok-tengokkan anak ibu. Kalau ada apa-apa berlaku, tolong beritahu ibu ye," Irna mengangguk perlahan seraya tunduk menyalami tangan milik ibu Iman. Hubungan yang baik antara mereka menyebabkan ibu Iman tidak segan membahasakan dirinya sebagai ibu dengan Irna.

*****************

"Iman, kenapa ni? Iman sakit lagi ke?" Irna semakin risau melihat keadaan Iman yang semakin teruk. Dia mula hairan dan bimbang jika ada sesuatu yang akan menimpa Iman.

"Iman, jom kita pergi hospital. Irna tengok Iman dah teruk ni, selalu je sakit kepala, muntah-muntah, kita pergi hospital ok?" Irna sudah tidak mampu berlembut dengan Iman. Sudah banyak kali dia cuba memujuk Iman untuk pergi ke hospital. Namun jawapannya tetap sama.

"Irna, Iman okeylah. Cuma sakit kepala biasa je ni. Nanti lepas makan panadol okeylah," Iman hanya senyum segaris.

"Tak boleh. Hari ni Iman kena dengar juga cakap Irna. Kita mesti pergi hospital hari ni. Iman tunggu sekejap. Irna nak inform kat warden," pandangan Iman mengiringi langkah sahabatnya.

"Dah lama ke sakit ni?" doktor di hadapan memulakan bicara sambil mencatat sesuatu dalam buku laporan kesihatan.

"Ermm, agak lama jugak la, tapi dulu tak sakit macam ni. Sekarang ni sakit sangat-sangat. Kadang-kadang tak boleh nak tahan," Irna menggengam erat tangan sahabatnya. Dia berdoa agar tiada perkara buruk yang akan berlaku.

"Selera makan macam mana? Okey?"

"Entahlah doktor tapi sekarang ni memang tak boleh makan sangat, selalu je tak ada selera," doktor mengangguk perlahan sambil meneruskan catatan.

"Ermm doktor, maaf mencelah, tapi saya nak tahu kenapa hidung Iman berdarah. Kadang-kadang gusi pun sama," doktor mula memandang Iman.

"Kita buat blood test dulu, nanti kita tengok macam mana," Iman dan Irna saling berpandangan. Mereka mula merasakan seakan ada sesuatu yang tidak kena.

**************

"Iman, saya harap Iman akan bersabar, mungkin apa yang bakal saya sampaikan terlalu susah untuk diterima, tapi saya yakin Iman seorang yang kuat,"

Berita yang disampaikan oleh doktor agar sukar untuk diterima. Sudah kering air matanya mengenangkan perkara tersebut. Namun, dia beristighfar panjang. Iman sedar segalanya telah ditentukan oleh Allah Pencipta Alam. Dari Dia kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Akhirnya dia redha atas segala-galanya.

"Hasil dari blood test yang telah dibuat, saya dapati Iman menghidap penyakit leukemia," Iman dan Irna sangat terkejut dengan berita yang dikhabarkan. Bagaikan hendak luruh jantung mereka. Iman hanya mampu memandang Irna dengan pandangan kosong yang sukar untuk ditafsirkan.

"Pada mulanya saya ingatkan result tu salah. So saya dah buat test tu 2 kali dan hasilnya memang positif. Saya harap Iman banyakkan bersabar ya," doktor itu dapat melihat kesedihan yang terpancar di wajah mereka. Lidah mereka juga kelu untuk berbicara, mungkin masih terkejut dengan berita yang diterima.

"Penyakit ni dah peringkat kedua, dan mungkin kejam kalau saya cakap penyakit Iman ni dah nak sampai peringkat ketiga,"

"Kalau kita dapat kesan dari awal-awal, mungkin sempat untuk kita berikhtiar. Iman akan selamat kalau ada sum-sum tulang yang sesuai, tapi sekarang ni, agak susah untuk kita dapatkan sum-sum tulang yang sesuai, tapi insya-Allah, tak mustahil untuk sesuatu berlaku jika diizinkan oleh Allah,"

"Iman, Iman!!" Irna hairan melihat Iman yang jauh termenung. Dia tahu apa yang sedang difikirkan oleh sahabat baiknya itu. Setiap kali dia melihat wajah pucat Iman, pasti rasa sedih bertamu di hatinya. Sebagai hamba Allah yang lemah, dia hanya mampu berdoa agar sahabatnya itu diberikan kekuatan dan dipanjangkan umur.

"Eh, Irna, maaflah, Iman tak perasan tadi," Iman tersedar. Dia tahu dia harus kembali ke alam nyata. Berita tentang penyakitnya yang diterima sejak hampir setahun yang lalu sering mengganggu ketenangannya. Bukan dia tidak menerima takdir Allah tapi dia takut. Dia takut untuk menghadapi sakaratul maut. Bagi dirinya, bila-bila masa sahaja Malaikat maut akan menjemputnya kembali kepada Yang Esa. Mungkin esok, minggu depan dan mungkin juga tahun hadapan. Memikirkan hal itu, dia dirundung kesedihan. Dia sedih kerana andainya telah ditakdirkan dia akan pergi dalam tempoh terdekat ini, dia sudah tidak dapat sujud kepada Allah Ta'ala, dia tidak lagi dapat berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya. Dia juga takut apabila memikirkan adakah cukup amalannya selama ini untuk dihadapkan di hadapan Allah. "Ya Allah kau ampunkanlah segala dosa ibu bapaku, dosa-dosaku, dosa seluruh ahli keluargaku, dosa guru-guruku, dosa sahabat-sahabatku, dosa muslimin serta muslimat. Kau matikanlah aku dalam iman dan Islam," detik hatinya.

********************

"Assalamualaikum, Irna," hati Irna berdegup kencang sebaik sahaja menerima panggilan ibu Iman.

"Waalaikumussalam, ibu, kenapa ibu, Iman sakit ke?" Irna semakin gelisah apabila terdengar esakan halus dari corong telefon. Dia tahu ibu sedang menangis.

"Irna, boleh tak Irna datang ke rumah ibu sekarang. Iman, nazak,"

Irna segera bertolak ke rumah Iman bersama-sama kedua-dua ibu bapanya. Perjalanan selama sejam lebih itu dirasakan bertahun lamanya. Air matanya tidak berhenti mengalir. Sedaya upaya dia menahan perasaan agar bersabar tetapi dia tidak mampu. Dia tidak mampu untuk memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku. Dia masih ingat pandangan Iman sewaktu hari terakhir persekolahan sebelum cuti penggal bermula. Pandangan Iman tika itu memang sukar untuk dimengertikan. Hanya air mata duka yang mengiringi perpisahan mereka saat itu. Kata-kata maaf yang diungkapkan oleh Iman juga masih segar di ingatannya.

"Irna, maafkan Iman ye. Terima kasih sebab sudi jadi sahabat baik Iman. Irna mesti ingat, walau apapun yang berlaku, Irna mesti tabah. Terima takdir Allah seadanya, dan satu lagi, jangan biarkan hubungan Irna dengan ayah dan ibu terputus seandainya Iman pergi dulu. Satu perkara yang Irna kena ingat, Iman sayang Irna, sayang sangat-sangat,"

Irna tidak dapat menahan perasaannya. Dia menangis lagi. Kata-kata Iman tempoh hari betul-betul mengganggu fikirannya.

*****************

"Assalamualaikum," dengan lemah salam diucapkan. Langkah Irna lemah tidak bermaya. Kedatangannya disambut dengan tangisan dan pelukan ibu Iman. Dia dapat merasakan betapa eratnya pelukan itu. Hatinya pedih, jantungnya pula seakan berhenti berdegup.

Hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya apabila melihat seorang sahabat yang selama ini berkongsi susah senang dan suka duka bersamanya sedang terbujur kaku. Fikirannya ketika itu kosong. Bukan senang untuk menerima kenyataan itu. Kenyataan yang ternyata pahit untuk ditelan. Namun, dia pasrah dan redha dengan takdir Allah. Sebagai hamba Allah yang beriman, dia mesti kuat dan bersabar menghadapi ujian hidup. Kata-kata arwah Iman kembali menerpa ingatannya.

"Irna, maafkan Iman ye. Terima kasih sebab sudi jadi sahabat baik Iman. Irna mesti ingat, walau apapun yang berlaku, Irna mesti tabah. Terima takdir Allah seadanya, dan satu lagi, jangan biarkan hubungan Irna dengan ayah dan ibu terputus seandainya Iman pergi dulu. Satu perkara yang Irna kena ingat, Iman sayang Irna, sayang sangat-sangat."

"Insya-Allah Iman. Irna mesti kuat. Irna mesti tabah dan Irna pun sayangkan Iman. Sayang sangat-sangat," getus hatinya.

************

Arwah Iman sudahpun selamat dikebumikan. Perasaan sedih masih setia bertamu di hatinya. Dia masih ingat betapa susahnya untuk mencium dahi arwah Iman gara-gara air matanya yang tidak henti-henti mengalir. 'Sejuk'. Itulah yang dirasakannya sewaktu mencium dahi arwah buat kali terakhir.

"Irna," dia tersedar dari lamunan. Ibu Iman di sebelah dipandang sayu. Apalah sangat kesedihannya jika dibandingkan dengan kesedihan seorang ibu yang kehilangan anaknya. Irna dapat melihat tubir mata ibu Iman masih digenangi air jernih.

"Ya ibu," tangan si ibu digengamnya seerat mungkin.

"Ibu jumpa surat ni atas meja arwah, untuk Irna," dalam sebak ibu Iman menuturkan kata-kata.

Tangannya terketar-ketar semasa membuka lipatan surat itu. Surat terakhir daripada seorang sahabat. Tanpa dapat ditahan, kolam matanya pecah lagi. Bagaikan baru semalam mereka dipertemukan, kenangan mereka bersama masih segar di ingatan.


Buat sahabatku Irna.

Assalamualaikum,

Iman bersyukur sangat-sangat sebab Allah telah mempertemukan kita, walaupun pertemuan kita hanya sekejap cuma tapi Iman tetap berterima kasih kepada Allah sebab melalui Irna, Iman berpeluang mengenali erti sahabat sejati Irna. Maafkan Iman atas segala kesilapan yang pernah Iman lakukan sepanjang persahabatan kita. Sebenarnya Iman pun dah tak tahu nak tulis apa. Kepala Iman sakit sangat ni tapi Iman tak nak tinggalkan Irna tanpa kata. Kalau boleh Iman nak sangat jumpa Irna. Takut nanti tak sempat. Mungkin sekarang ni Iman dah dipanggil menghadap Ilahi. Kalau boleh, Iman nak tengok Irna sebelum kita berpisah buat selama-lamanya tapi Iman juga nak minta maaf kalau Irna hanya sempat tengok jasad kaku Iman. Bukan Iman nak tapi ingatlah mati itu pasti bagi setiap manusia. Iman harap, Irna akan bersabar. Tolong doakan Iman di sana ye. Sebenarnya, Iman takut sangat Irna. Iman takut mati. Iman takut amalan Iman tak cukup tapi apakan daya Iman, Iman dah tak boleh nak buat apa kalau dah takdir Iman akan pergi dulu. Cuma Iman harap Irna teruskan impian kita untuk jadi wanita solehah. Gunakanlah masa dengan sebaik mungkin. Laksanakanlah ibadah dan perintah Allah selagi masa masih ada sebab kita tak tahu bila sebenarnya ajal maut kita. Ingatlah sahabatku, kematian tidak akan menunggu sehingga seseorang itu bersedia untuk menghadapinya.

Buat tatapan Irna, Iman sempat tuliskan lirik lagu nasyid yang kita suka. Hayatilah setiap bait kata-kata yang ada pada lirik ni. Akhir kata doakanlah Iman di sana. Wassalam.

Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan

Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala

Menitis air mataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan

Cinta yang semakin kesamaran
Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasih-Mu, oh Tuhan

Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
Damainya hati
Yang dulu resah keliru
Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina

Syukur sungguh di hati ini
Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekati-Nya
Tika diri dalam kebuntuan

Betapa aku menghargai
Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti
Cinta hakiki yang abadi

Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasih-Mu Tuhan
Yang terbias pada ketulusan
Sekeping hati seorang insan
Bernama teman




Surat itu dilipat kembali. Matanya basah dengan air mata.

"Ya Allah, kau tempatkanlah sahabatku dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin," doanya di dalam hati.

"Semoga Syurga menjadi milikmu, sahabatku. Walaupun pertemuan kita di dunia fana ini telah berakhir, Irna berdoa agar kita dipertemukan kembali di Jannah-Nya. Amin."

*artikel ini ana copy paste dr iluvIslam.com


Permalink
gravatar

CARA MERAPATKAN SAF YANG BENAR DARI RASULULLAH SAW DAN PARA SAHABAT

Nota: Tidak ada beza cara solat Wanita dan lelaki jika menurut ajaran Rasulullah yang sebenar

Rujuk: http://al-astariy.blog.friendster.com/berbezakah-tatacara-solat-kaum-lelaki-dengan-kaum-wanita/


Assalamualaikum WBT, saya tergerak untuk menulis artikel ini yang saya rasakan sangat-sangat penting untuk diingatkan. Perkara ini hampir ditinggalkan di zaman yang serba penuh dengan Bid'ah dan kesesatan. Orang awam tidak lagi bertanya tentang dalil dan lebih gemar mengikut orang lain yang dilihatnya. Entah orang lain itu berilmu ataupun tidak. Kemudian sikap ini berjangkit dari seorang ke seorang yang lain sehingga tertutuplah kebenaran dari Masyarakat.

"Dan jika kamu menuruti kebanyakan (majoriti) orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan diri kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanya mengikuti persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)". (Surah Al-An'am, 116)

Rasulullah Bersabda: :"Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.” (Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, hadith no. 631.)


Antara yang saya dukacita ialah kebanyakan makmum tidak mahu merapatkan saf malah menjauhi seseorang yang cuba menyentuhnya untuk merapatkan saf. Makin kita rapat makin dia jauh. Adakah ada perasaan geli untuk bersentuh di dalam saf?



Hal ini disebut dalam hadith yang sahih dan hukum menolak hadith yang sahih adalah kufur secara Ijmak. Maka tidaklah mempunyai pilihan melainkan beramal dengan hadith yang sahih.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ: عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ فَإِنِّي أَرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي وَكَانَ أَحَدُنَا يُلْزِقُ مَنْكِبَهُ بِمَنْكِبِ صَاحِبِهِ وَقَدَمَهُ بِقَدَمِهِ

Maksud: Dari Anas B. Malik (radhiyallahu 'anhu), beliau menjelaskan bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam menyuruh supaya para makmum merapatkan saf-saf mereka dan Nabi akan dapat memerhatikan mereka dari belakang. Dan pada ketika itu masing-masing di antara kami pun saling merapatkanlah bahu dengan bahu dan telapak kaki dengan telapak kaki yang di sebelah. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, 3/154, no. 683)



عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَقِيمُوا الصُّفُوفَ وَحَاذُوا بَيْنَ الْمَنَاكِبِ وَسُدُّوا الْخَلَلَ وَلِينُوا بِأَيْدِي إِخْوَانِكُمْ لَمْ يَقُلْ عِيسَى بِأَيْدِي إِخْوَانِكُمْ وَلَا تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ وَمَنْ وَصَلَ صَفًّا وَصَلَهُ اللَّهُ وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا قَطَعَهُ اللَّهُ

Maksud: Daripada 'Abdullah B. 'Umar, bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

Luruskanlah saf-saf, rapatkanlah bahu-bahu, tutuplah celah-celah (di kanan dan kiri di antara kamu), dan berlemah-lembutlah terhadap saudara kamu, serta jangan biarkan ada celah-celah untuk Syaitan. Sesiapa yang menyambungkan saf, Allah akan menyambungkan hubungan dengannya dan .sesiapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutuskan hubungan dengannya . (Hadis Riwayat Abu Daud, Sunan Abi Daud, Kitab as-Solah, 2/309, no. 570. Dinilai Sahih oleh al-Albani, Shahih Sunan Abi Daud, 2/166, no. 666)

Contoh merapatkan saf yang betul pada telapak kaki berpandukan lakaran:


Permalink
gravatar

Ilmu Ikhlas

“Mari ku ajarkan ilmu ikhlas.” Kata seorang guru kepada anak muridnya.

“Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulis,”

“Tak payah, bawa sahaja karung guni”

“Karung guni?” Kata anak muridnya seolah-olah tidak percaya.

“Mari kita ke pasar!”

Dalam perjalanan ke pasar mereka melalui jalan yang berbatu-batu.

“Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam karung guni itu." Kata guru itu memberi arahan. Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.

“Cukup?”

“Belum. Isi sampai penuh karung guni itu.” Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa. Hanya belegar-legar dan melihat-lihat kemudian beredar ke luar.

“Tuan guru, kita tidak beli apa-apa?”

“Tidak. Bukankah karung gunimu sudah penuh?”

“Ya,ya…” Kata si murid, agak kelelahan.

“Banyak Beli barang.” Tegur seorang kenalan apabila melihat mereka dengan guni yang kelihatan penuh.

“wah, tentu mereka berdua ini orang kaya! Banyak sungguh barang yang mereka beli.'' Kata seseorang.

“Agaknya mereka hendak buat kenduri besar kot," Kata yang lain pula.

Sebaik kembali ke tempat tinggal mereka,si murid meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi. “Oh,sungguh letih! Apa yang kita hendak buat dengan batu-batu ini tuan guru?”

“Tak buat apa-apa”

“Eh,kalau begitu letih sajalah saya.” Balas anak murid.

“Letih memang letih tapi kamu dah dapat ilmu ikhlas”

“Ikhlas?” Tanya anak murid kehairanan.

“kamu dah belajar apa akibatnya kalau tidak ikhlas dalam beramal”

“Dengan memikul batu-batu ini?”

“Ya, batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi yang memuji kamu banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan,tetap hanya batu-batu.”

“Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?

“Ya, hanya berat sahaja ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah, yang kamu dapat, hanyalah penat.”

“ya, sekarang saya faham apa akibatnya beramal tetapi tidak ikhlas!” Ujar si murid.

Pengajaran: Ramai manusia yang tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian. Padahal kata-kata pujian hakikatnya hanya menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia juga terseksa di akhirat.

selawat~


Permalink
gravatar

CINTA Pontianak Harum Sundal Malam..

Semuanya halal ketika bercinta. Tanpa segan silu, mereka berkata..kenapa?? salah kerr..kami bercinta?? Bukankah cinta itu kurniaan Tuhan, jiwa kita ini kan memerlukan cinta seperti mana jasad kita yang zahir ini memerlukan makanan. Bukan main lagi kalau berhujah mengenai cinta... BETUL..Agama tidak melarang kita bercinta tetapi, ingat cinta yg d semai sekarang adalah cinta terlarang.. AHHHHHhh... jangan dihalang, sedangkan lautan api sanggup ku rentasi, kalau saudari tak percaya.. ambillah kapak, belahlah dada, pasti dihati saya tertera nama saudari, insan paling di cintai...

Inilah kata-kata membunuh yang sanggup dilafazkan walhal ia amat mustahil dilaksanakan. Yang menjadi persoalan, mengapalah mereka yang mabuk cinta dengan mudah mempercayai dan menerima kata-kata yang dilafazkan sedemikian?? Bukankah cinta itu satu fitrah, jadi tidak salahnya jika kita mencubainya. Fitrah diiringi dengan keinginan, keinginan pula harus dituntun dengan syariat. Keinginan tanpa sempadan adalah firasat yang berlandaskan nafsu dan syaitan.

Manusia hari ini terlalu taksub dengan cintanya, sebagaimana Laila Majnun, Shah Jehan dan Taj Mahal yang amat mahalnya. Namun pasti manusia sering terlupa kepada yang memiliki cinta. Cinta berasal dari kasih dan sayang, yang mana ia terletak di bawah taklukan Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Seperti mana kita terlalu asyik dengan hadiah yang kita terima sehingga terlupa bersalaman dan mngucapkan terima kasih kepada yang memberi hadiah kepada kita...

Cinta terlarang ibarat racun rumpai yang berbisa disemburkan kepada tanaman. Yang pasti bukan sahaja pokok parasit dan lalang musnah,tanaman yang ditanam tidak terkecuali terkena serpihan rumpai yang disebarkan. Akhirnya akan terhasillah buah yang pahit, masam, memabukkan dengan pelbagai nama, perkara aneh dan menjijikkan.

Apa yang tertera ini bukan lah CINTA.. semuanya nafsu. Selagi belum ada ikatan yang sah, peliharalah dirimu, jangan dibiarkan insan-insan durjana mengambil kesempatan dalam ruang kesempitan. Bila sekujur tubuh telah mengalah, adakah kamu pasti dia akan bertanggungjawab?? Sekarang bila kita tanya mungkin ia berkata " AWAKLAH BUAH HATI ABANG ". Tapi adakah kita pasti ayat ini akan berkekalan... INGAT!!! Lidah manusia tidak bertulang. Teringat kata-kata orang kampung dulu, CINTAKU DITOLAK, DUKUN BERTINDAK... Jangan sampai dukun bertindak maka jadilah seperti cinta mariam. Bukan cinta tapi dendam... seorang PUNTIANAK HARUM SUNDAL MALAM... PULANGKAN... tapi tak boleh pulangkan dah...

wallahua'lam..

selawat~


Permalink
gravatar

Salahkah Bila Berubah?

Izzat mengerutkan dahi memandang teman sebilliknya menumbuk tendang batang pohon, melepaskan amarahnya. Pagi tadi bukan main gembira Aliuddin melangkah keluar dari bilik. Tapi Aliuddin yang berada di hadapannya kini...

“Ali, bangun sembahyang Subuh. Dah lewat ni.”

“Diamlah kau. Aku nak sembahyang ke, tak nak ke, kau peduli apa? Kubur masing-masing.”

“Memang la kubur masing-masing. Kalau kubur kita sekali, bolehlah aku backup kau. Kau tak sembahyang, aku boleh tolong cover.”

Aliuddin menarik selimut lalu memekap mukanya dengan bantal. Izzat hanya menggeleng-gelengkan kepala. Suasana menyepi seketika. Hakim menepuk-nepuk bahu Izzat, mengisyaratkannya supaya ke tepi. Dia dekat ke tepi Aliuddin lalu menjerit, “Bangun Subuh!” Aliuddin yang tersentak bangun terduduk dengan matanya terbeliak bulat. Melihatkan wajah takut teman sebiliknya itu, Hakim ketawa mengekek.

“Nasib baik kaki aku sakit. Kalau tak, kau sarapan kaki aku pagi ni.”

Ketuk ketampi tiga ratus kali dan dirotan di kaki. Denda yang menyebabkan kakinya sakit yang amat. Denda atas perbuatan memancitkan tiga tayar kereta guru yang menyagat rambutnya. Ini bukanlah kali pertama dia didenda dan mungkin bukan yang terakhir. Dia cuba bangun dari katil tapi kakinya terasa perit untuk berdiri. Malah hendak duduk kembali pun dia tak mampu. Mukanya berkerut menahan kesakitan.

“Kau tak apa-apa ke?” Izzat bertanya.

“Aku nampak macam tak ada apa-apa ke?” Aliuddin bersuara garang.

Hakim cuba untuk membantu memapah tapi ditangkis keras oleh Aliuddin. Dia menguatkan diri untuk melangkah padahal dalam hati menjerit menahan sakit. Memang Aliuddin tidaklah sebaik nama yang diberi, namun cara pengurusan sekolah mengatasi pelajar bermasalah hanya menambahkan lagi dendam di dada. Pernahkah guru yang memberi denda itu merasai betapa sakitnya kaki setelah ketuk ketampi beratus kali? Di sebalik hukuman-hukuman pihak sekolah, kenapa agaknya pendekatan yang diambil lebih kepada menghukum pesalah sedangkan fungsi sekolah ialah memanusiakan manusia?

Esok cuti sekolah bermula. Sebaik sahaja loceng berbunyi, Aliuddin meluru ke asrama, mengejar tombol pintu biliknya. Cepat-cepat dia menukar baju lalu berlari ke tempat perhentian bas. Tidak sabar rasanya ingin pulang ke kampung. Di dalam perut bas, dia mencapai buku komiknya, sekadar membaca melepaskan kebosanan yang mula menghantui. Ada sesuatu yang jatuh dari celah-celah muka surat komik itu. Sepucuk surat.


I – Isyak
S – Subuh
L – Luhur (Zuhur)
A – Asar
M – Maghrib

Kalau kita tinggalkan salah satu daripadanya, kita sudah bukan Islam lagi. Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Allah s.w.t. berkata keada Nabi Muhammad s.a.w., “Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.”

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. dibawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Izzat, sahabatmu.

Bas meluncur laju membelah malam. Dia melabuhkan pandangannya ke luar tingkap. Pokok-pokok ketapang di pesisir lebuh raya berbalam. Melambai-lambai gemalai ditiup angin. Sinar bulan malu-malu menjenguk alam. Debar jantung tiba-tiba menderas. Dia menatap semula surat itu. Dibacanya berulang-ulang kali. Bicara ayat-ayat mengelus jiwanya yang layu.

“Kau ni ada masalah apa? Kalaulah pokok tu ada tangan, terkulai layu kau dibuatnya.”

“Budak-budak tu la…” mulutnya memuncung ke satu arah.

“Budak-budak mana?” Izzat mencari-cari kelibat orang.

“Aku jalan-jalan tadi, terdetik dalam hati nak sembahyang kat masjid. Elok je aku nak langkah masuk pagar masjid, Si Shukri tu perli-perli aku. Dia kata dia nak tengok selama mana muka ahli neraka macam aku ni boleh jadi baik. Sampai aku habis solat pun dia tak henti-henti lagi mengumpat aku. Geram betul la!” Satu tumbukan padu dilepaskan. Daun-daun kering mula berguguran. Menari-nari lalu jatuh menapak lantai bumi.

“Muka aku ni ada cop neraka ke? Aku jadi jahat pun salah, jadi baik pun salah.”

“Meh sini aku check.” Izzat membelek-belek muka Aliuddin. “Ish…” Aliuddin menepis tangan Izzat, merenung tajam kawannya itu. “Dia saja main-main kot.”

“Kalau main-main, orang takkan sambung dengan mengumpat.”

“Biarlah… Bila dia mengumpat kau, kau dapat pahala. Kau sepatutnya gembira dapat pahala free.”

“Pahala free? Kenapa pula?”

“Bila kita mengumpat orang, orang yang diumpat dapat pahala, kita dapat dosa.”

“Owh… ye ke?” Izzat mengangguk. “Aku dapat pahala?” Aliuddin senyum tersipu-sipu sambil tangannya memeluk batang pokok. Izzat hanya menepuk dahi melihat telatahnya.

Berhimpit jerami di balik meranti,
Saying cemara akar terendam,
Kasih bersemi ikhlas di hati,
Menyejuk bara menghilir dendam.



Permalink
gravatar

As-Salafus Soleh Ikutan Kita

Pengertian As-Salafus Soleh


As-Salafus Soleh dari sudut bahasa bermakna para pendahulu yang soleh. Yang dimaksudkan dengan istilah as-Salafus Soleh adalah para pendahulu kaum muslimin dari kalangan sahabat nabi,tabi'in(para murid sahabat) dan tabi'ut tabi'in(para murid tabi'in). Dengan demikian as-Salafus Soleh adalah tiga generasi awal dari kaum muslimin.


Dalil-dalil daripada Al-Qur'an Al-Karim

Di dalam Al-Qur'an, surah at-Taubah ayat 100 yang ertinya :

"Dan generasi yang terdahulu dan pertama (masuk Islam) dari kalangan kaum muhajirin dan ansar serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah telah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah, dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yag mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agung."

Ayat tersebut menetapkan bahawa redha Allah dan syurga-Nya itu bagi sahabat nabi (muhajirin dan ansar) dan orang-orang yang mengikuti mereka. Ini menunjukkan bahawa syurga itu di capai dengan cara mengikuti pemahaman sahabat dalam perkara din(agama), maka mengikuti mereka merupakan suatu kewajipan.

Di dalam surah Ali Imran ayat 110 yang ertinya :

"Kalian adalah umat terbaik yang di tampilkan untuk manusia, kalian telah memerintahkan kebaikan dan melarang kemungkaran dan beriman kepada Allah."

Ketika ayat ini turun, lafaz kalian di tujukan kepada sahabat nabi, maka ayat tersebut menetapkan bahawa sahabat adalah generasi yang terbaik dalam perkara agama. Penetapan Allah swt terhadap diri mereka sebagai generasi terbaik, menunjukkan pemahaman sahabat dalam perkara din,dalam perkara akidah mahupun amal, kerana tidaklah seseorang itu mengikuti dan meneladani kecuali yang telah di tetapkan oleh-Nya sebagai generasi terbaik dari umat ini.


Maka orang-orang yang mengikuti sahabat dalam beragama akan menjadi bahagian dari kelompok sahabat, menjadi sebahagian dari umat terbaik yang telah di tampilkan oleh Allah swt, dengan demikian makna umat terbaik berlaku bagi sahabat nabi dan semua orang yang mengikuti pemahaman mereka dalam perkara din(agama).


Dalil daripada Sunnah

Rasulullah saw bersabda yang ertinya:

"Sebaik-baik manusia adalah generasiku - iaitu sahabat nabi -, kemudian orang-orang sesudah mereka - iaitu tabi'in -, kemudian orang-orang sesudah mereka - iaitu tabiut tabbi'in -. Sesudah itu akan datang satu kaum yag kesaksian mereka mendahului sumpahnya dan sumpahnya mendahului kesaksiannya."

(HR. Bukhari IV/189, Muslim VII/184-185, Ahmad I/424, dan lain-lain)

Penetapan Rasulullulah saw terhadap tiga generasi awal kaum muslimin (generasi as-Salafus Soleh) sebagai sebaik-baik manusia menunjukkan kewajipan mereka kepada orang-orang setelahnya untuk mengikuti mereka dalam perkara din kerana yang dapat dijadikan ikutan hanyalah sebaik-baik manusia.

Wallahu'a'alam.

sumber: iluvislam.com


Permalink
gravatar

Indahnya Kemesraan Suami Isteri

Assalamualaikum…

Sesungguhnya sebuah pernikahan, perkahwinan dan kehidupan suami isteri itu sangat indah. Amatlah rugi sekiranya sesebuah rumah tangga itu tidak dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Masih ramai lagi di luar sana yang masih tercari-cari jodoh sendiri, tidak dapat berkahwin kerana masalah kewangan, masalah tidak mendapat restu ibubapa dan macam-macam lagi. Oleh itu, bagi yang sudah pun berumah tangga, manfaatkanlah alam ini dengan sebaik mungkin. :)

Keutuhan rumah tangga memerlukan kerjasama dua pihak, iaitu suami dan juga isteri. Hubungan yang penuh kasih sayang, InsyaAllah, akan kekal selama-lamanya kerana hubungan yang kaya dengan kasih sayang akan membetulkan segala keadaan, segala salah anggap, segala buruk sangka. Dengan kasih sayang, timbulnya kemesraan.

kemesraan suami isteri

Jadi, di sini, saya akan menceritakan sedikit sebanyak tips kemesraan yang boleh dibangkitkan di antara suami isteri. Tips ini adalah merupakan amalan Nabi kita sendiri, Rasulullah S.A.W. Lebih-lebih lagi, segala perbuatan baginda adalah suatu sunnah. Ganjaran pahala diberikan sekiranya kita mengamalkannya. Betapa romantiknya Rasulullah S.A.W. :)

  • Tidur dalam satu selimut bersama isteri

Dari Atha’ bin Yasar: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W dan ‘Aisyah r.a biasa mandi bersama dalam satu bejana. Ketika baginda sedang berada dalam satu selimut dengan ‘Aisyah r.a, tiba-tiba ‘Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya, ‘Mengapa engkau bangkit?’ Jawabnya, ‘Kerana saya haid, wahai Rasulullah.’ Rasulullah berkata, ‘Kalau begitu, pergilah ambil kain dan dekatlah kembali kepadaku.’ Aku pun masuk lalu berselimut bersama beliau” (Hadith Riwayat Sa’id bin Manshur)

  • Mendinginkan kemarahan isteri dengan mesra

Rasulullah S.A.W biasa memicit hidung ‘Aisyah jika beliau marah dan baginda berkata, “Wahai ‘Uwaisy, bacalah doa: ‘Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku dari fitnah yang menyesatkan.” ( Hadith Riwayat Ibnu Sunni)

  • Membersihkan titisan darah haid isteri

Dari ‘Aisyah r.a, beliau berkata, “Aku pernah tidur bersama Rasulullah S.A.W di atas satu tikar ketika aku sedang haid. Bila darahku menitis ke atas tikar itu, beliau mencuci bahagian yang terkena titisan darah dan baginda tidak berpindah dari tempat itu, kemudian baginda solat di tempat itu pula, lalu baginda berbaring kembali di sisiku. Bila darah ku menitis lagi di atas tikar itu, baginda mencuci di bahagian yang terkena darah itu saja dan tidak berpindah dari tempat itu, kemudian baginda pun solat di atas tiakr itu.” (Hadith Riwayat Nasa’i)

kemesraan suami isteri

  • Segera menemui isteri jika tergoda

Dari Jabir, sesungguhnya Nabi S.A.W pernah melihat wanita, lalu baginda masuk ke tempat Zainab, lalu baginda tumpahkan keinginan baginda kepadanya, lalu keluar dan bersabda, “Wanita, kalau mengadap, ia mengadap dalam rupa syaitan….Bila seseorang di antara kamu melihat seorang wanita yang menarik, hendaklah ia datangi isterinya, kerana pada diri isterinya ada hal yang sama dengan yang ada pada wanita itu.” (Hadith Riwayat Tirmidzi)

  • Tidur di pangkuan isteri

Dari ‘Aisyah r.a, beliau berkata, “Nabi S.A.W biasa meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian beliau membaca Al-Quran.” (Hadith Riwayat ‘Abdurrazaq)

  • Memanggil isteri dengan kata-kata mesra

Rasulullah S.A.W biasa memanggil ‘Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang disukainya seperti ‘Aisy dan Humaira (pipi merah delima).

  • Meminta isteri meminyaki badan

Dari ‘Aisyah r.a, beliau berkata, “Saya meminyaki badan Rasulullah S.A.W pada Hari Raya Aidil Adha setelah baginda melakukan jumrah ‘aqabah.” (Hadith Riwayat Ibnu ‘Asakir)

  • Membelai isteri

“Adalah Rasulullah S.A.W tidaklah setiap hari melainkan baginda mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang. Beliau menghampiri dan membelai kami dengan tidak mencampuri hingga beliau singgah ke tempat isteri yang beliau giliri waktunya, lalu beliau bermalam di tempatnya.” (Hadith Riwayat Ahmad)

  • Mencium isteri

Dari ‘Aisyah r.a, bahawa Rasulullah S.A.W baisa mencium isterinya setelah wudhu’, kemudian beliau solat dan tidak mengulangi wudhu’nya.” (Hadith Riwayat ‘Abdurrazaq)

Dari Hafsah, puteri ‘Umar r.a, “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W biasa mencium isterinya sekalipun sedang puasa.” (Hadith Riwayat Ahmad)


Permalink
gravatar

Hasad Dengki dan Iri Hati

Abul Laits Assamarqandi r.a. meriwayatkan dengan sanadnya dari Alhasan berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Hasad dan dengki itu keduanya akan memakan habis hasanat sebagai mana api makan kayu."

Ibrahim bin Aliyah dari Abbad bin Ishaq dari Abdurrahman bin Mu'awiyah berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Tiga macam sifat yang tidak dapat selamat daripadanya seorangpun iaitu:

  • Buruk sangka

  • Hasad dengki

  • Takut sial kerana sesuatu

Lalu ditanya: "Ya Rasulullah, bagaimana untuk selamat dari semua itu?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Jika kau hasad maka jangan kau lanjutkan, dan jika menyangka maka jangan kau buktikan (jangan kau cari-cari kenyataannya) dan jika merasa takut dari sesuatu maka hadapilah (jangan mundur)." Yakni jika hasad dalam hatimu maka jangan kau lahirkan dalam amal perbuatanmu sebab selama hasad itu masih dalam hati, maka Allah s.w.t. maafkan selama belum keluar dengan lidah atau perbuatan. Jika su'udhdhan (buruk sangka) maka jangan kau buktikan, jangan berusaha menyelidiki mencari kenyataannya. Demikian pula jika akan keluar untuk sesuatu lalu ada suara burung atau lain-lain yang menimbulkan was-was atau takut dalam hati maka teruskan hajatmu dan jangan mundur."

Nabi Muhammad s.a.w. suka kepada fa'al (kata-kata yang baik atau harapan yang baik) dan tidak suka thiyarah (takut sial kerana burung dan sebagainya) dan bersabda: "Thiyarah itu perbuatan jahiliyah." Seorang mukmin tidak takut dan berlindung kepada Allah s.w.t.

Ibn Abbas r.a. berkata: "Jika kamu mendengar suara burung maka bacalah: "Allahumma la thoira illa thairuka walaa ilaha ghoiruka walaa haula walaa quwwata illa billahi." (Yang bermaksud): "Ya Allah, tidak ada burung kecuali burungMu dan tidak ada kebaikan kecuali daripadaMu dan tiada Tuhan kecuali Engkau dan tiada daya dan tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah." Dan teruskan maksudmu, maka tidak akan ada sesuatu yang berbahaya bagimu. Bi idz nillah.

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Jangan benci membenci dan jangan hasud menghasud dan jangan menawar barang untuk menjerumuskan orang lain dan jadilah kamu hamba Allah sebagai saudara."

Mu'awiyah bin Abi Sufyan berkata kepada puteranya: "Hai anak, hati-hatilah dari hasud, dengki kerana ia akan nyata pada dirimu sebelum bahayanya tampak nyata pada musuhmu."

Abul Laits berkata: "Tiada sesuatu yang lebih jahat daripada hasud, sebab penghasud itu akan terkena lima bencana sebelum terkena apa-apa yang dihasud iaitu:

  • Risau hati yang tak putus-putus

  • Bala yang tidak berpahala

  • Tercela yang tidak baik

  • Dimurka Allah s.w.t.

  • Tertutup padanya pintu taufiq

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Ingatlah bahawa nikmat-nikmat Allah s.w.t. ada musuhnya." Ditanya: "Siapakah musuh-musuh nikmat Allah s.w.t. itu, ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ialah mereka yang hasud terhadap nikmat kurniaan Allah s.w.t. yang diberikan kepada manusia."

Malik bin Dinaar berkata: "Saya dapat menerima persaksian orang qurraa' terhadap siapapun tetapi tidak dapat menerima persaksian terhadap sesama qurraa' sebab diantara mereka ada rasa iri hati dan hasud menghasud." Abuhurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Enam kerana enam akan masuk neraka pada hari kiamat sebelum hisab (perhitungan amal) iaitu:

  • Pemerintah kerana zalim

  • Orang kerana fanatik (mengutamakan kebangsaan)

  • Kepala desa kerana sombong

  • Pedagang kerana kianat

  • Orang dusun kerana kebodohan

  • Ahli ilmu kerana hasud

Yakni ulama yang hanya berebut dunia, mereka hasud satu sama lain, kerana itu seharusnya seseorang menuntut ilmu kerana Allah s.w.t. dan akhirat supaya tidak timbul hasud menghasud antara satu pada yang lain. Sebagaimana firman Allah s.w.t. mengenai orang-orang Yahudi (Yang berbunyi): "Am yahsudunan naasa ala maa ataahumullahu min fadhlihi." (Yang bermaksud): "Ataukah mereka hasud pada orang-orang kerana Allah memberikan kurniaNya kepada mereka."

Seorang cendikiawan berkata: "Awaslah dari hasud (irihati) sebab hasud itu pertama-tama dosa dilangit dan juga pertama dosa yang terjadi dibumi. Iblis laknatullah diperintah sujud pada Nabi Adam a.s. akan tetapi oleh kerana ia irihati (hasud) sehingga menolak perintah Allah s.w.t. dan dia dikutuk oleh Allah s.w.t. dan juga Qabil membunuh Habil kerana irihati, hasud sebagaimana tersebut didalam ayat (yang berbunyi: "Watlu alaihim naba'abnai Adama bilhaqqi idz qorrabaa qurbana, qaala la aqtulannaka qaala innama yataqabbalullahu minal muttaqien." (Yang bermaksud): "Bacakanlah berita kedua putera Adam ketika sama-sama mengajukan korbannya, maka diterima yang satu dan ditolak yang lain, lalu ia berkata: "Saya akan membunuh engkau." Jawabnya: "Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang yang bertaqwa."

Al-Ahnaf bin Qays berkata: "Orang hasud tidak dapat senang dan orang bakhil tidak berbudi dan tidak dapat dijadikan kawan orang yang selalu jemu dan tidak ada kemanusiaan bagi pendusta. Dan tidak dapat diterima pendapat orang yang kianat dan tiada budi bagi orang yang rosak moral (tidak berakhlak).

Seorang hakiem (cendiakiawan) berkata: "Belum pernah saya melihat seseorang zalim menyerupai orang yang dianiaya daripada penghasud."

Muhammad bin Sirin bertanya: "Saya tidak dapat menghasud orang atas sesuatu daripada dunia, jika ia ahli syurga maka bagaimana saya akan iri hati padahal ia ahli syurga dan jika ia ahli neraka maka untuk apa hasud terhadap orang yang bakal masuk neraka?"

Alhasan Albashri berkata: "Hai Anak Adam, mengapakah engkau iri hati terhadap saudaramu, maka jika Allah s.w.t. memberi sesuatu kepada orang yang kau hasud itu kerana kemuliaannya disisi Allah s.w.t. maka untuk apakah kau hasud kepada orang yang dimuliakan Allah s.w.t., jika tidak demikian maka untuk apakah kau hasud kepada orang yang akan masuk keneraka?"

Abul Laits berkata: "Tiga macam orang yang tidak akan diterima doanya iaitu:

  • Orang yang makan haram

  • Orang yang tidak suka ghibah (membicarakan kejelekkan orang)

  • Siapa yang didalam hatinya ada hasud/irihati terhadap kaum muslimin

Ibn Syihab (Azzubri) dari Salim dari ayahnya (Ibn Umar) r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Tidak boleh seorang hasud kecuali dalam dua macam iaitu:

  • Seorang yang diberikan Allah s.w.t. kepandaian dalam Al-Quran maka digunakan siang malam (diamalkan)

  • Seseorang yang diberikan Allah s.w.t. kekayaan maka ia bersedekah siang malam.
    Ertinya: Orang boleh hasud untuk sedemikian ini

Abul Laits berkata: "Yakni rajin sesungguh-sungguhnya ingin meniru perbuatan itu dalam ilmu dan kekayaannya, maka ini adalah baik. Maka jika ia ingin berubah orang yang baik itu maka ia jahat kerana Allah s.w.t. telah berfirman (Yang berbunyi): "Wala tatamannau maa fadhdhalallhu ba'dhakum ala ba'dhin." (Yang bermaksud): "Jangan menginginkan aoa yang diberikan Allah sebagai kurnia kepada setengahmu atas yang lain." Dalam ayat yang lain pula Allah s.w.t. berfirman (Yang berbunyi): " Was'alullaha min fadh lihi." (Yang bermaksud): "Kami sendiri minta kepada Allah dari kurniaNya."

Maka kewajipan tiap muslim membersihkan dari dari hasud sebab hasud itu menentang hukum Allah s.w.t. dan ketentuan kurnia yang diberikan Allah s.w.t. kepada seseorang hamba yang diridhoNya.

Al-alaa' bin Abdurrahman dari ayahnya dari Abuhurairah r.a. berkata: "Ia bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. tentang kewajipan seorang muslim terhadap sesama muslim?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Hak kewajipan seorang muslim terhadap muslim yang lain ada enam iaitu:

  • Jika bertemu harus diberi salam

  • Jika mengundang harus didatangi

  • Jika diminta nasihat harus ditunjukkan yang benar (dinasihati)

  • Jika bersin dan mebaca Alhamdulillah harus didoakan dengan berdoa Yarhamukallah

  • Jika sakit harus diziarah

  • Jika mati harus dihantar jenazahnya

Abul Laits meriwayatkan dengan sanandnya dari Anas bin Malik r.a. berkata: "Saya telah menjadi pelayan Nabi Muhammad s.a.w. sejak berumur lapan tahun dan pertama yang diajarkan Nabi Muhammad s.a.w. kepadaku: "Ya Anas, tetapkan wudukmu untuk sembahyang supaya dicinta oleh Malaikat yang menjagamu, dan ditambah umurmu. Ya Anas, mandilah dari janabat dan sempurnakan didalam mandi itu sebab dibawah tiap helai rambut ada janabat." Saya bertanya: "Bagaimana menyempurnakannya?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Puaskan sampai kedalam rambut-rambutmu dan bersihkan benar kulitmu, supaya engkau keluar dari tempat mandi sudah diampunkan dosa-dosamu. Ya Anas, jangan engkau tinggalkan sembahyang dhuha sebab itu sembahyangnya orang-orang awwaabiin (yang taubat kemabali kepada Allah s.w.t.) dan perbanyakkan sembahyang malam dan siang sebab selama engkau sembahyang maka Malaikat mendoakan untukmu. Hai Anas, jika engkau berdiri sembahyang makategakkan dirimu dihadapan Allah s.w.t. dan jika rukuk maka letakkan kedua tapak tangan dilututmu dan renggangkan jari-jarimu dan renggangkan kedua lenganmu dari pinggangmu, dan bila bangun dari ruruk maka tegakkan sehingga kembali semua anggota ditempatnya, dan jika sujud maka letakkan wajahmua ditanah dan jangan sebagai burung yang menyucuk makanan dan jangan kau hamparkan kedua lenganmu sebagaimana pelanduk, dan jika duduk diantara dua sujud maka jangan sebagaimana duduk anjing dan letakkan kedua bokongmu diantara dua kaki dan letakkan bahagian atas tapak kaki ditanah sebab Allah s.w.t. tidak melihat sembahyang yang tidak sempurna rukuk sujudnya. Dan jika dapat engkau tetap berwuduk siang malam maka kerjakanlah, sebab jika tiba mati kepadamu engkau sedang berwuduk, maka engkau tidak luput dari mati syahid. Hai Anas, jika engkau masuk kerumahmu maka berilah salam kepada keluargamu, supaya banyak berkat rumahmu dan jika engkau keluar untuk hajat maka beria salam pada tiap muslim yang bertemu kepadamu supaya masuk manisnya iman dalam hatimu, dan kila terkena dosa ketika keluar maka akan kembali sudah diampunkan dosamu. Hai Anas, jangan sampai diwaktu siang dan malam engkau mendendam dengki kepada seorang muslim sebab itu dari ajaranku maka siapa yang mengikuti ajaranku bererti cinta kepadaku dan siapa yang cinta kepadaku maka ia bersamaku disyurga. Hai Anas, jika engkau melakukan dan mengingati wasiatku ini, maka tidak ada sesuatu yang lebih suka daripada maut sebab disitulah istirehatmu."

Didalam ajaran Nabi Muhammad s.a.w. ini dinyatakan bahawa membersihkan hati daripada dengki dan hasud kepada seseorang muslim termasuk Sunnaturrasul yang menjadi tanda cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w. bagi siapa yang melakukannya, bahkan bersama Nabi Muhammad s.a.w. siyurga. Maka wajib tiap muslim membersihkan hatinya dari rasa dengki dan hasud sebab termasuk amal yang utama.

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Anas r.a. berkata: "Ketika kami dimasjid bersama Nabi Muhammad s.a.w. tiba-tiba Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: ""Akan masuk kepadamu seorang ahli syurga sambil memegang kedua kasutnya dengan tangan kirinya." Maka tiba-tiba masuk seorang sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. itu dan sesudah memberi salam ia duduk bersama kami. Kemudian pada esok harinya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda pula dan masuk kembali orang itu seperti keadaan kelmarin dan hari ketiga Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, juga sama seperti hari pertama dan kedua, dan ketika orang itu bangun untuk kembali diikuti oleh Abudullah bin Amr Al-ash dn berkata kepada orang itu: "Telah terjadi pertengkaran sedikit antaraku dengan ayahku sehingga aku bersumpah tidak akan masuk kerumah selama tiga malam, maka jika engkau tidak keberatan maka saya akan bermalam dirumahmu selama itu?" Jawabnya: "Baiklah." Anas berkata: "Abdullah bin Amr menceritakan bahawa ia bermalam dirumah orang itu dan ternyata bahawa orang itu tidak bangun malam, hanya jika tidur berzikir sehingga bangun fajar dan jika berwuduk sempurna dan sembahyang dengan khusyuk dan tidak puasa sunnat. Ddemikian saya perhatikan kelakuannya sampai tiga hari tiga malam, tidak lebih dari itu dan hanya saja ia tidak berkata-kata kecuali yang baik-baik. Dan setelah tiga malam saya merasa bahawa ia tidak mempunyai amal yang berlebihan dan saya kata kepadanya: "Ssebenarnya antara ku dengan ayahku tidak ada apa-apa, tetapi saya telah mendengar Nabi Muhammad s.a.w. bersabda didalm tiga majlis: "Akan tiba padamu seorang ahli syurga." tiba-tiba engkau datang dan kerana itu saya ingin mengetahui amalmu, maka saya berusaha bermalam dirumahmu untuk meniru amalmu tetapi ternyata kepadaku bahawa engkau tidak berlebihan, maka apa yang kiranya menyebabkan engkau sehingga Nabi Muhammad s.a.w. bersabda sedemikian?" Jawabnya: "Tidak lain melainkan apa yang sudah engkau lihat itu." Maka pergilah aku, tetapi lalu dipanggil olehnya dan berkata: "Amalku tidak lebih melainkan apa yang engkau saksikan itu, cuma saja saya tidak irihati atau dengki pada seseorang muslim terhadap segala yang ia dapat." Maka saya katakan: "Inilah yang menyampaikan engkau sehingga Nabi Muhammad s.a.w. bersabda sedemikian itu dan itulah yang tidak dapat kami lakukan."

Seorang cendikiawan berkata: "Orang hasud telah menentang Allah s.w.t. dengan lima hal iaitu:

  • Kerana ia membenci nikmat Allah s.w.t. terhadap orang lain

  • Dia tidak suka pembahagian Allah s.w.t. untuk dirinya seolah-olah ia berkata: "Mengapa Engkau membagi begini?"

  • Ia bakhil terhadap kurniaan Allah s.w.t.

  • Dia menghina waliyullah sebab ia ingin tercabut nikmat Allah s.w.t. yang diberikan kepadanya

  • Dia membantu kepada iblis laknatullah

Orang yang hasud tidak memperolehi dalam pergaulan kecuali hina dan kerendahan dan dari Malaikat kecuali laknat (kutukan) dan benci, dan jika sendirian hanya kerisauan dan duka dan ketika nazak (sakartul maut) hanya kesukaran, keberatan dan ketakutan dan dihari kiamat kecuali malu dan siksa, kemudian dalam neraka tempat bakarannya."


Permalink
gravatar

Doa Yang Menolak Zina

“Ustaz, di manakah saya boleh mencari kekuatan untuk menolak zina?” seorang anak muda bertanya kepada saya.

“Carilah ia di dalam Solat. Di dalam doa” saya membalas email yang dikirimnya.

Anak muda itu terasa hampa. Barangkali beliau kecewa kerana saya memberitahunya apa yang dia sudah tahu.

Solat.

Doa.

Sudah berapa kali dia bersolat dan berdoa, tetapi kekuatan yang dicari tidak pernah ada. Seperti Allah tidak menjawab permintaannya. Solat yang hampa. Doa yang terbang dibawa angin masa.

Bukankah Allah Subhanahu wa Ta’aala sendiri memberi jaminan bahawa Solat itu mencegah manusia daripada kemungkaran, terutamanya zina? Itu yang disebut di dalam al-Quran:

“Bacalah serta ikutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada Al-Quran, dan dirikanlah Solat. Sesungguhnya Solat itu mencegah daripada perbuatan yang Fahsya’ dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar. Dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan” [Al-Ankabut 29: 45]

Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya. Seandainya solat anak muda itu dan kita semua tidak mampu mencegah diri daripada kejahatan, terutamanya Zina, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan solat yang kita kerjakan. Bukan sahaja daripada aspek cukup Syarat atau sah tidak sahnya solat itu, malah intipati dan maknanya.

Ya, sejauh mana kita memaksudkan apa yang kita minta?

Sampaikah kepada permintaan seorang anak muda bernama Yusuf?

TELADAN MUJAHADAH YUSUF

Imra’ah al’Aziz yang dikenali sebagai ‘Zulaikha’ itu, tidak pernah berputus asa. Di satu ketika dia menafikan dirinya sebagai orang yang memaksa zina ke atas Yusuf. Tetapi setelah kejadian baju Yusuf terkoyak akibat kejadian sebelumnya (Yusuf 12: 25) tersebar ke seluruh kota (Yusuf 12:30), Zulaikha menjadi liar. Malunya hilang, malah semakin mengganas pada tindakannya untuk mendapatkan Yusuf. Wanita-wanita bangsawan temannya dihimpunkan. Mereka dijamu makan. Setiap tangan diberikan pisau untuk memotong dan Zulakhai memaksa Yusuf tampil ke khalayak menampakkan diri.

Daripada Anas bin Malik radhiyallaahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Yusuf telah diberikan separuh daripada kecantikan diri” [Al-Bukhari no. 7517 dan Muslim no. 162]

Separuh kecantikan diberikan kepada Yusuf.

Separuh lagi diagihkan kepada seluruh manusia lain!

Giliran mereka pula dibius cinta. Tangan tidak terasa bahawa pisau tidak lagi memotong makanan. Jari-jari mereka luka dipotong pisau kerana panahan rupa paras Yusuf. Zulaikha mengeluarkan ‘buah’ manusia yang mabuk cinta. Mereka belum kena lagi. Sekarang tahukah mereka apa yang dihadapinya saban hari selama ini?

“(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi dia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau dia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah dia akan dipenjarakan, dan (Yusuf) akan menjadi daripada orang-orang yang hina.“ [Yusuf 12: 32]

Kini Zulaikha tidak lagi sendirian. Kemahuannya diakui oleh seluruh wanita yang melihat susuk wajah Yusuf. Zulaikha berjaya menjustifikasikan kehendak nafsunya. Maksiat bukan lagi maksiat. Kini maksiat adalah suatu mangsa keadaan!

Malah dayusnya al-’Aziz dan betapa berkuasanya Zulaikha sebagai First Lady, dia bebas menentukan siapakah yang patut dihumban ke penjara dan siapa yang tidak. Andai Yusuf enggan menerima ajakan Zulaikha, harga yang perlu dibayar adalah PENJARA.

Apakah tekanan yang Yusuf hadapi?

Anak muda, peluang ada, kecenderungan bisa terjadi, menolaknya pula bererti merengkuk di penjara. Sepadankah tekanan itu dengan apa yang kalian sebagai anak muda, hadapi berkaitan zina?

Atau kalian dengan sengaja gemar berkelakuan lemah diri? Justeru mudah memberi alasan, bahawa keadaan adalah ‘pihak’ yang patut dipersalahkan?

Sesungguhnya Yusuf mendengar ugutan itu. Beliau tahu di hadapannya hanya dua. Zina atau penjara.

MENCARI KEKUATAN DENGAN SOLAT DAN DOA

Yusuf tinggal sendiri.

Al-’Aziz sebagai bapa angkatnya, suami kepada Zulaikha dan Menteri Utama negara Mesir, tidak berperanan untuk mencegah hal ini. Beliau berada di kemuncak dayus.

Tiada tempat lain untuk Yusuf mencari kekuatan melainkan dengan Solat dan Doa.

Yusuf (merayu kepada Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan jadilah aku daripada golongan orang jahil yang tidak mengamalkan ilmunya” [Yusuf 12: 33]

Doa Yusuf itu sarat dengan makna. Yusuf benar-benar menyatakan kebergantungannya kepada Allah. Sesungguhnya tanpa bantuan Dia, Yusuf lemah untuk mendepani tipu daya wanita-wanita jahat itu. Sesungguhnya doa tidak boleh datang daripada hati yang sombong. Meminta sesuatu daripada Allah yang dirinya tidak berasa kepada keperluannya. Jika Allah beri, dia terima. Jika Allah tidak beri, dia akan buat sendiri. Sombongnya hati manusia yang meminta dan berdoa tidak dengan bahasa seorang hamba.

Yusuf juga menunjukkan kepada kita kuasa sebuah doa. Doa menguji sama ada kita benar-benar mahu kepada apa yang diminta, atau kita memintanya tanpa kesungguhan dan makna. Doa akan membunuh sifat hipokrit bahawa mulut meminta sesuatu, namun hati tidak bersungguh memaksudkannya.

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan engkau yakin ia akan dikabulkan, ketahuilah bahwa Allah tidak menerima doa daripada hati yang lalai”. (Hadith riwayat al-Tirmidzi, dihasankan oleh Sheikh al-Albani)

ENGKAU DAN DOAMU


Dirimu minta daripada Allah agar dihindarkan daripada zina. Namun sejauh mana hatimu membenci zina? Sejauh mana engkau mahu menjauhkan diri daripadanya? Adakah mulut meminta perlindungan, ketika hati dibiarkan melayan kecenderungan?

Doa mengajar kita memaksudkan apa yang kita minta. Supaya dengan doa itu, akhirnya hanya dirinya dan Allah yang benar-benar tahu, sejauh mana permintaan itu disungguhkan.

“Apabila sesiapa daripada kalangan kamu berdoa, maka hendaklah dia menekadkan apa yang diminta. Dan janganlah sekali-kali beliau berkata: Ya Allah jika Engkau mahu, berikanlah kepadaku apa yang kuminta. Sesungguhnya tiada suatu permintaan pun yang berat bagi Allah untuk menunaikannya” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Doa menyaring hasrat hati.

Hanya hati yang berjaya membulatkan permintaan, bersih daripada rasa berbelah bagi antara mahu meninggalkan maksiat dengan adanya rasa sayang untuk apa yang berlaku itu tamat.

Yusuf benar-benar memaksudkannya. Dirinya semakin lemah dengan tekanan yang memuncak. Justeru jika satu-satunya cara untuk selamat adalah dengan merealisasikan ugutan Zulaikha, sesungguhnya penjara itu lebih disukainya berbanding zina yang membinasakan.

HATI YANG IKHLAS

Di sinilah titik IKHLAS pada hati yang meminta. Hati yang bersih daripada semua pihak selain daripada Allah.

“Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” [Yusuf 12: 34]

Allah Maha Mendengar permintaanmu.

Allah Maha Mendengar suara halus di dalam hati yang meminta itu dan sejauh mana permintaan itu dimaksudkan.

Allah juga Maha Mengetahui terhadap apa yang berlaku.

Zulaikha mahukan engkau terpenjara untuk membalas dendam.

Allah memberikan engkau penjara seperti yang diminta, bahawa penjara itu memiliki hikmah besar yang menanti, seperti yang berada di dalam Ilmu-Nya.

“Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk ke Neraka Jahannam dalam keadaan yang hina” [Ghafir 40: 60]

Justeru anak muda, saat engkau mendepani kehidupan yang sangat mengajak kepada zina ini, perkukuhkanlah Solat dan Doamu untuk mencari ketulusan hati.

Hati yang benar-benar membenci zina dan kejahatan. Hati yang benar-benar menolaknya.

Seperti yang terungkap di dalam sebuah DOA!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com


Permalink
gravatar

Segala Perbuatan Bermula dengan Niat

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ ‏ ‏بِالنِّيَّاتِ

Ikhlas adalah tajuk yang dipilih oleh Imam an-Nawawi untuk dijadikan tajuk pertama di dalam kitabnya Riadh as-Solihin dan Hadis Arba’ein an-Nawawiyyah. Tajuk yang diilhamkan dari sepotong Hadis yang disampaikan oleh sahabat besar yang sangat hebat, iaitu sayyidina Umar bin al-Khattab (رضي الله عنه )

Kepentingan Hadis ini serta isi kandungannya digambarkan oleh Abd ar-Rahman bin Mahdi (135-198H), seorang muhaddith yang thiqah dengan kata-katanya: sekiranya aku menulis kitab yang mengandungi beberapa bab, nescaya akan aku letakkan Hadis Umar ini pada setiap bab.

Seorang ulamak besar kurun ke 7 hijriah, Ibn Abi Jamrah berkata: aku bercita-cita kalaulah ada di kalangan fuqahak seorang yang tidak ada lain kerjanya kecuali mengajar manusia tentang tujuan setiap amalan yang mereka lakukan. Dia duduk mengajar peranan dan kepentingan niat, itu sahaja. Sesungguhnya kebanyakan manusia tidak ditimpa musibah selain daripada mensia-sia niat.

Kata-kata itu memang ada asasnya. Allah (عز و جل) tidak memerintahkan hamba-Nya kecuali mengikhlaskan niat di dalam beribadah kepada-Nya seperti firman-Nya:
وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ
(Al-Bayyinah:5)

Rasulullah ( صلى الله عليه وسلم ) bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak menerima daripada amalan itu kecuali yang ikhlas dan mencari keredhaan-Nya”. (Menurut al-Albani, Hadis Hasan)

Apa maksud ikhlas?

Imam Ibn al-Qayyim (رحمه الله ) di dalam kitab Madarij as-Salikin, mengemukakan beberapa pandangan ulamak mengenai ikhlas.

Pertama: Ikhlas ialah mengesakan al-Haq (Allah) pada niat di dalam taat. Maksudnya, ketaatan yang dilakukan dengan niat semata-mata untuk mendapat keredhaan-Nya.

Kedua: Menyingkirkan perbuatan daripada pemerhatian makhluk. Maksudnya, elakkan perbuatan kita daripada tujuan mendapat perhatian manusia.

Ketiga: Amalan yang dilakukan oleh seseroang hamba itu sama pada zahir dan batin.

Keempat: Muslim meletakkan qasad (tujuan) segala perkataan dan perbuatannya hanyalah Wajah Allah Ta’ala. Dia mengharap pahala dan takut siksa, menghindarkan ria’ dan kemasyhuran di kalangan manusia.

Kelima: Lupa memandang makhluk kerana sentiasa melihat kepada al-Khaliq.

Semua makna yang dikemukakan, walaupun susunan ayatnya tampak berbeza, ia hanya menunjukkan satu pengertian bahawa ikhlas adalah satu tuntutan dan syarat diterima segala amalan.

Di dalam beberapa riwayat, Nabi (صلى الله عليه وسلم) memberi peingatan yang cukup jelas, amalan yang tidak ikhlas bukan sahaja tidak diterima, sebaliknya ia menjadi penyebab binasanya seseorang hamba. Abu Daud dan Ibn Majah meriwayatkan bahawa baginda telah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mempelajari satu ilmu yang seharusnya digunakan untuk mencari redha Allah, dia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapatkan habuan dunia, dia tidak akan dapat menghidu wanginya syurga pada hari qiamat kelak”.

Bagaimana mengikhlaskan niat?

Terdapat beberapa cara dan langkah yang boleh membantu dalam usaha membersihkan hati daripada anasir-anasir yang mencemarkan niat.

1. Mujahadah an-nafs, iaitu usaha gigih yang berterusan melawan nafsu yang terselit di dalam diri sendiri. Seorang ahli sufi yang terkenal waraknya, Sahal at-Tasatturiy (200-283H) pernah ditanya tentang sesuatu yang paling sukar diterima oleh nafsu. Beliau menjawab, ikhlas!

2. Sentiasa bertaqwa kepada Allah.

3. Memahami dan menghayati Kesempurnaan, Kekuasaan, Keagungan, Kekayaan, Pengawasan dan Keluasan kurniaan Allah di samping menginsafi kelemahan, kefaqiran, kehinaan dan ketidak upayaan hamba. Apakah patut kita berharap kepada hamba yang lemah dan membelakangkan Dia yang Maha Kuasa dan Maha Kaya?

4. Banyakkan doa, meminta dan merayu kepada-Nya agar dikurniakan hati yang ikhlas
(يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك)
(يا حي يا قيوم أصلح لي شأني كله ولا تكلني إلى نفسي طرفة عين أبدا)
(اللهم إني أعوذ بك أن أشرك بك شيئا أعلمه وأستغفرك مما لا أعلمه)

5. Rahsiakan ibadah dan kebaikan yang dilakukan seboleh mungkin.

6. Mengkritik diri dan menghisabnya dari masa ke masa berkaitan dengan niat.

7. Memerhati akan pantasnya kehidupan dunia dan cepatnya menuju kehancuran, seraya berfikir tentang akhirat, kenikmatan serta kesengsaraan yang tidak berkesudahan.

8. Waspada sentiasa terhadap godaan perasaan kagum kepada diri sendiri, seronok dipuji, suka memimpin dan menonjolkan diri. Perhati dan rawati selalu agar tidak bertapak menjadi penyakit yang sukar diubati.

الله أعلم


Permalink
gravatar

couple lagi....

Rasanya sudah terlampau banyak post mengenai couple ini. Tujuan artikel ini di tulis bukanlah untuk berterusan menghukum atau menegakkan benang yang dah sememangnya basah mahupun kering kerana benang yang basah mahupun kering itu amat sukar di tegakkan. Maka dengan itu janganlah kita berterusan saling menegakkannya.
Pada ketika dan saat artikel ini di tulis, penulis masih lagi berfikir. Bukan berfikir kosong, tetapi berfikir dengan sepenuh hati dan akal. Teruskan membaca artikel ini dan teruskan berfikir.
Pertama sekali, mari kita cuba lihat apa erti atau definisi bagi satu istilah yang kita panggil cinta, couple, etc dari kacamata remaja atau muda mudi zaman ini.
Kita mula dari perspektif yang lebih umum. Ada yang menganggap cinta itu berlaku bila mata bertentang mata. Ada pula yang menganggap cinta itu berlaku bila ada pengisytiharan atau Declaration I LOVE U atau SAYA CINTAKAN AWAK. Ada jugak yang rasa cinta itu bermula bila Saya tau dia suka saya dan dia tau saya suka dia. Itu dah cukup.
Sebenarnya masih ramai yang keliru bila mentafsirkan apa itu cinta. Malahan ada yang tidak tahu bila bermulanya cinta. Ada juga yang cuba menghalalkan cinta menurut agama Islam biarpun berlaku di luar perkahwinan. Malahan tidak keterlaluan jika dinyatakan di sini ada yang menggunakan dawah sebagai Lesen Besar mereka untuk bercinta. Yang ikhwah kata akhwat perlukan bantuan saya, yang akhwat pula kata ikhwah perlukan dorongan dari saya.
Tapi betulkah couple itu haram? Kenapa? Jangan terus menjawab persoalan ini. Teruskan membaca dan berfikir.
Masalah pendefinisian couple atau cinta itu sendiri sudah mengelirukan. Bagaimana individu itu mentafsirkan cinta takkan habis kalau di tanya orang perseorangan. Ini kerana mereka mentafsirkan cinta menurut hati dan kehendak mereka. Ada juga yang cuba menggunakan dalil-dalil dari Al Quran, dan petikan kata-kata ulama muktabar serta kitab-kitab tertentu untuk menghalalkan cinta menurut kehendak dan nafsu mereka.
Susah untuk mencari kata-kata ulama mahupun imam-imam besar tentang dari mana bermulanya cinta ini. Kita ambil contoh yang paling mudah. Kata-kata dari filem-filem melayu zaman P Ramlee dan sebagainya (semestinya mereka tidak tergolong dalam kategori ulama dan imam besar). CINTA ITU MULANYA DARI MATA, DAN TURUNNYA KE HATI. Dari hati terbitnya rasa sayang dan dari rasa sayang perasaan rindu mula menjengah ke segenap ruang diri.
Betulkah ungkapan atau situasi ini? Jangan jawab persoalan ini. Teruskan membaca.

Lihat pula Firman Allah dalam surah yang sama,
Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.
(Surah An-Nur(24) ayat 30)

Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya..
(Surah An-Nur(24) ayat 31)

Pertamanya dari kedua-dua ayat ini, Allah SWT memerintahkan kepada kedua-dua lelaki dan wanita yang beriman supaya menahan pandangan dan yang keduanya barulah memelihara kemaluan. Berfikir sejenak, mengapa pandangan yang harus di tahan terlebih dahulu dan bukan kemaluan yang di jaga?
Saya simpulkan secara mudah, KERANA ZINA ITU BERMULA DARI MATA DAN KEMUDIAN TURUN KE HATI! Jadi jagalah pandangan mata dari melihat atau melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya.
Kedengaran janggal pula di telingan ayat supaya menjaga mata dari melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya ini. Mata bukanlah boleh melakukan apa-apa. Mata bukanlah seperti anggota lain seperti tangan, kaki dan lain-lain yang memang terang-terangan boleh menjadi organ penzinaan. Fikirkan lagi.
Kami pandai jaga la kalau kami couple pun. Kami tak jumpa langsung. Kadang-kadang kami sms jek, YM dan hantar email. Kata sesetengahnya yang pandai menjaga hubungan couple mereka. Tapi organ apakah yang mereka gunakan untuk membaca sms, YM atau email tersebut kalau bukan MATA.

Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi S.A.W. bersabda :
Sesungguhnya Allah Taala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat,sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti.
Lihat pula sabda rasulullah saw di atas yang memperincikan masalah zina. Teliti turutannya. Mata adalah zina terutama yang di beri penekanan. Kemudian barulah di ikuti lidah, hati dan kemaluan.

Baiklah kita hentikan perbincangan mengenai zina. Tak semua orang yang bercouple akan berzina (kononnya). Kita mula pula perbincanagan mengenai sesuatu yang suci katanya. CINTA.

Cinta itu sendiri terlampau subjektif dan terlalu sukar untuk di tafsir. Ia boleh membawa kepada yang maruf jika betul caranya dan juga membawa kepada yang mungkar jika salah caranya. Cinta yang sebenar adalah cinta yang menuruti batas-batas dan tuntutan islam. Dan bila bercakap mengenai cinta yang memenuhi batasan atau tuntutan islam tentulah cinta yang telah sah HALAL di sisi Allah. Cinta selepas AKAD. Cinta adalah HAK mutlak milik Allah SWT. Ia adalah pinjaman dari Allah kepada hambanya untuk di letakkan di tempat yang sewajarnya. Ianya amat indah jika betul dan kena caranya.
Rasa cinta itu perlu di tumpahkan menurut cara yang sebenar. Rasa cinta perlu di letakkan pada yang sepatutnya. Rasa cinta perlu di luah mengikut turutan yang sewajarnya. Apakah turutan yang sewajarnya ini?
Bila kita ketahui cinta ini milik Allah dan pinjaman dariNya kepada kita, tentulah turutan cinta yang pertama adalah cinta kepada Khaliq. Cinta teratas dan cinta teragung. Bila kita bercinta atau bercouple. Rasa cinta itu terlampau mendalam. Rasa rindu sentiasa membuak-buak dan meronta-ronta dalam jiwa. Setiap masa dan ketika kita ingin bersama. Sekiranya tidak mendengar suara pun sudah mencukupi. Dan sekiranya masih tidak mampu, membaca tulisan-tulisannya melalui sms pun sudah memadai. Setiap masa dan ketika kita rasa ragu dengan cinta pasangan. Setiap masa juga kita ingin memastikan cintanya pada kita. Setiap masa kita nak tanya betul ker u suka i ni. betul ker u cinta i ni. Supaya pasti cintanya tidak surut, cintanya tidak pudar seperti pudarnya pesona Cleopatra (novel tulisan Habiburahman).
Tapi dalam masa yang sama pernahkan kita pastikan atau lakukan perkara yang sama pada Allah swt? Bertanya cintaNya pada kita, memastikan supaya kita sentiasa di dalam cintaNya. Dan yakinkah kita meraih cintaNya?

Tinggalkan persoalan ini. Anda fikir.
Klimaknya bagi artikel ini berdasarkan huraian dari awal ialah COUPLE sebelum akad itu TIDAK HARAM kalau anda sanggup membutakan mata anda, hati anda, dan membisukan lidah anda. Betullah kata-kata pujangga, CINTA ITU BUTA!
Dan couple itu haram kalau anda tidak mahu butakan mata, hati dan bisukan lidah anda.
Anda fikir dan anda pilih. HARAM atau TIDAK.


Permalink
gravatar

5 SEBAB MENJADIKAN BER"COUPLE" HARAM

Pada asasnya, hukum bercinta-kasih, berpasangan( couple) atau
seumpamanya adalah harus. Akan tetapi terdapat beberapa
perkara/tindakan yang boleh menyebabkannya menjadi HARAM. Antaranya : PERTAMA: TIDAK MEMPUNYAI NIAT YANG BAIK ATAU SEBALIKNYA
Sesebuah perhubungan ˜istimewa" antara seorang lelaki dan wanita
seharusnya didasari dengan niat yang baik seperti bertujuan untuk
berkahwin. Justeru sebarang perhubungan yang tidak bertujuan seperti
tersebut adalah tidak harus seperti bercouple untuk berhibur,
bersuka-suka dan sebagainya. KEDUA: TIDAK MEMATUHI (MELAMPAUI) SYARIAT AGAMA
Lumrah bercouple seakan tidak dapat lari dari aktiviti seperti
ber"dating", ber"shoping" dan sebagainya hatta ada yang sampai ke
peringkat "membonceng". Tidak kurang juga (tanpa segan silu)
menggunakan istilah-istilah yang kononnya menunjukkan sikap "caring"
seperti memanggil darling kepada pasangannya. Paling tidak, pasti di
dalam pertemuan(dating) akan berlaku pandangan mata yang tidak harus,
perbicaraan yang tidak wajar dan seumpamanya. Semua perlakuan ini
adalah bercanggah dengan ajaran Islam yang mengharamkan perhubungan
bebas di antara lelaki dan perempuan. Yang paling penting, apabila
Syariat Islam mengharamkan sesuatu perkara/perbuatan, maka wasilah atau
tindakan yang menuju kepada perkara yang diharamkan tersebut juga turut
diharamkan. Kaedah Fiqh ada menyebutkan : sesuatu yang membawa kepada
yang haram, maka ia juga menjadi haram. Justeru berdasarkan kaedah
ini, maka bercouple yang membawa kepada perlanggaran hukum syariat juga
adalah haram. KETIGA: MENJATUHKAN MARUAH (PERIBADI) SEORANG WANITA
Apabila pasangan yang bercouple berdating, maka peribadi seorang wanita
muslimah akan dipersoalkan. Khalayak tidak akan berbicara tentang si
lelaki yang bercouple tersebut, tetapi si perempuan. Masyarakat akan
bertanya bagaimana begitu mudah si perempuan tersebut membiarkan
dirinya diusung(maaf jika agak keterlaluan) ke sana-sini atau
setidak-tidaknya umum akan menganggap bahawa perempuan tersebut telah
dimiliki. Kesan buruk yang mungkin dihadapi ialah apabila berlaku
perpisahan antara pasangan tersebut. Masyarakat akan mula membuat
pelbagai tanggapan negatif terhadap si perempuan tersebut.
Prasangka-prasangka negatif akan direka dan dihebahkan. Akhirnya
berlakulah tohmahan-tohmohan yang menjatuhkan maruah dan kehormatan
seorang wanita. Ingatlah bahawa Islam amat memprihatinkan penjagaan
maruah seorang wanita. Di atas dasar itulah adanya hukum Qazaf dan
kerana tujuan tersebut jugalah Islam mengharamkan perhubungan yang di
luar batasan. Sebabnya adalah kerana Islam memelihara kehormatan seorang wanita. KEEMPAT: MEMBAZIRKAN WANG KEPADA PERKARA YANG TIDAK WAJAR
Di dalam budaya bercouple, biasanya pasangan lelaki akan banyak
menghabis duit pinjaman PTPTN, JPA, yayasan negeri (bagi mahasiswa IPT)
atau duit pemberian ibubapa untuk memenuhi kehendak pasangan wanitanya.
Ajak saja dinner, lunch, breakfeast atau bershoping pasti si lelaki
yang perlu mengeluarkan duit poketnya. Terdapat juga keadaan di mana si
perempuan yang berbelanja si lelaki. Itu belum dikira dengan pembeliaan
kad top-up handset yang out of control. Hanya kerana call untuk tanya
khabar, dah makan ke belum, ada yang sanggup mentop up handset mereka
beberapa kali dalam seminggu. Cuba
bayangkan jumlah wang perlu dibazirkan hanya untuk perkara yang sangat
remeh dan tidak perlu. Paling menyedihkan, wang tersebut adalah
pemberian keluarga yang seharusnya digunakan bagi tujuan pengajian.
Begitu juga wang pinjaman PTPTN, ia adalah hutang yang perlu dibayar
selepas tamat pengajian. Justeru, penggunaan kedua-dua jenis wang ini
kepada perkara yang tidak wajar adalah tidak harus dan ditegah oleh syarak. Perbuatan membazir dan menyalahgunakan harta juga adalah amalan syaitan.(Rujuk Al-Israa ayat 27) KELIMA: MEMBUANG MASA KEPADA PERKARA YANG TIDAK SEWAJARNYA
Seperkara yang wajar diprihatinkan di sini ialah penggunaan waktu
kepada perkara yangtidak bermanfaat. Lebih malang lagi, masa yang amat
terhad sebagai seorang mahasiswa telah diisi dengan perbuatan-perbuatan
yang ditegah oleh Allah. Bukankah berdating, berbual telefon secara
marathon dan lain-lain aktiviti rutin bercouple merupakan perbuatan
yang menyimpang dari anjuran agama. Justeru setiap saat dan minit yang
digunakan bagi tujuan tersebut akan dipersoal dan diperbicarakan di
hadapan Allah. Perlu diingat bahawa Islam bukan mengharamkan
secara total perkara yang dinyatakan di atas. Islam tidak menghalang
perbuatan tersebut, tetapi meletakkan beberapa prasyarat yang perlu
dipenuhi. Sekiranya kita gagal mengikut syarat-syarat tersebut, maka
status perbuatan tersebut menjadi HARAM serta menjauhkan diri pelaku
daripada kasih sayang dan cinta Allah. (Rujuk kitab al-Halal wal Haram
Fil Islam, Dr. Yusuf Al-Qardhawi)


Permalink

Islamic Hijri Calendar

Followers

leave ur comments here ^_^

visit me on Facebook ^_^

Popular Posts Last 7 days

Popular Posts All Time

Archive