KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 11
MINTA PANDANGAN ISTERI KETIKA BERSEGAK
Sebagai seorang Nabi yang menjawat jawatan pemimpin sesebuah negara, berpakaian segak merupakan satu kepentingan. Ini kerana, semua tindak tanduk Nabi SAW pasti akan ditiru.
Berpakaian segak bukan bermakna berpakaian yang berharga mahal, tetapi cukup berpakaian yang bersih dan pakaian itu sesuai dengan pemakainya. Kesesuaian pada sudut saiz, warna pakaian dengan warna kulit dan sebagainya.
Bahkan, jika diperhatikan kepada hadis-hadis Nabi, kita akan dapati berpakaian segak ini merupakan satu tuntutan, bahkan ianya disukai oleh Allah SWT.
Sabda Nabi SAW;
والله جميل يحب الجمال
Maksudnya;
”Allah adalah tuhan yang maha indah, amat suka kepada keindahan[1]”
Segak sebahagian dari keindahan dan kecantikan. Ekoran itulah, ia merupakan kesukaan bagi Allah SWT terhadap hambanya.
Dalam hal itu pula, kita akan dapati, Baginda SAW adalah manusia yang selalu segak dikala di rumah, mahupun di luar rumah. Baginda SAW segak dirumah sebagai melahirkan keseronokkan para isteri melihat baginda, bahkan diluar nabi juga segak untuk melahirkan penghormatan umat terhadap baginda SAW, juteru mereka juga akan meniru untuk menjadi segak.
Didapati, baginda SAW dikala mahu keluar rumah, Nabi SAW akan mengenakan pakaian segak, lalu untuk memastikan kesegakan baginda itu bersesuaian dengan pakaian yang dikenakan, Baginda SAW akan bertanya terlebih dahulu kepada isterinya.
Hal ini dirujuk kepada hadis yang diriwayatkan daripada Hamid bin Hilal berkata ;
لبس رسول الله صلى الله عليه وسلم بردة سوداء فقال يا عائشة كيف ترين قالت فقلت : ما أحسنها عليك شيب بياضك بسوادها وشيب سوادها ببياضك ، فخرج فيها فعرق فوجد منها ريحا فرجع فنزعها
Maksudnya;
“Rasulullah SAW memakai pakaian serba hitam, lalu bertanya kepada Aisyah; “apa pandangan kamu Wahai Aisyah?” berkata; “alangkah segaknya kamu apabila kulit putih kamu dengan hitam pakaian itu, dan hitamnya dengan putih kamu. Nabi SAW pun keluar dan didapati beginda berpeluh, maka semerbaklah bau wangi. Lalu baginda pulang dan memecat pakaiannya tadi[2]”
Hadis ini membuktikan kepada kita bahawa, Nabi SAW sering bertanya kepada isterinya tentang pakaian yang dikenakan baginda, apakah ianya bersesuaian atau tidak.
Tindakan bertanya pandangan isteri tentang pakaian yang hendak dipakai ini, merupakan salah satu cara untuk melahirkan perasaan dihargai dalam diri isteri. Isteri pasti akan berbangga apabila dihargai sebegitu, lebih-lebih lagi jika suami mereka adalah manusia yang menjadi model untuk manusia tiru. Sudah pasti isteri itu akan berfikir, orang meniru suaminya, pada hakikatnya meniru hasil dari pendapat dan pandangan yang dikemukakan terhadap suaminya.
Menelaah kepada hadis ini, selayaknya para suami menjadikan ianya sebagai tauladan. Tidak perlu malu untuk bertanya pandangan isteri tentang pakaian yang dipakai. Disamping itu juga, para isteri hendaklah bersedia memberikan pendapat yang bernas dan jujur dalam menentukan bentuk pakaian yang mahu di pakai oleh suami.
Jika ini boleh di amalkan, sudah pasti kemesraaan dan kebahagiaan dalam rumah tangga akan terhasil, lebih-lebih lagi dalam usaha mencapai redha Allah SWT dalam mengharungi bahtera kehidupan berumah tangga.
Sekian
[1] Al-Mustadrak ‘Ala Sahihain : 68.
[2] Musnad Ishaq bin Rahawiyyah : 1530.