KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 8
TIDUR SATU SELIMUT DENGAN ISTERI
Haid merupakan masalah fitrah kaum perempuan yang tidak boleh dinafikan. Apabila kaum perempuan didatangi haid pada setiap bulan, ianya bukan bermakna, itulah masanya kaum lelaki tidak tidur bersama-sama dengan mereka.
Jika dirujuk keadaan arab jahiliyyah terdahulu, mereka menjadikan musim kedatangan haid sebagai cara untuk mereka menjauhkan diri dari isterI-isteri mereka. Masakan tidur sekali, sampai satu tahap, segala makanan masakan isteri mereka yang berhaid juga tidak dimakan. Mereka bertindak sedemikian adalah kerana mereka beranggapan, perempuan yang berhaid bermaksud perempuan itu bernajis. Apabila mereka sudah bernajis, maka segala hasil tangan mereka dikira juga sebagai najis.
Pengamalan jahiliyyah ini menyalahi dengan Islam yang amat memuliakan kaum perempuan. Islam meletakkan asas, dikala perempuan kedatangan haid, larangan hanya berlaku pada jimak sahaja. Adapun selain itu, ianya adalah dibenarkan.
Dalam Hadis sendiri telah membuktikan hal ini. Diberitakan melalui hadis riwayat Imam An-Nasai dalam kitab As-Sunan Al-Kubra, daripada Zainab yang merupakan anak perempuan Ummu Salamah bercerita, bahawa ibunya, iaitu Ummu Salamah berkata;
بينا أنا مضطجعة مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في الخميلة فانسللت من اللحاف فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم أنفست فقلت نعم فدعاني فاضطجعت معه في الخميلة
Maksudnya;
“ketika kami sedang berbaring bersama Rasulullah SAW dalam satu selimut, lalu Aku bangkit keluar dari selimut. Bertanya Rasulullah SAW; Apakah kamu sedang berhaid?? Aku menjawab; benar aku sedang berhaid. lalu baginda memanggilku untuk berbaring bersama baginda dalam selimut tadi[1]”
Hadis yang dinukilkan ini merupakan satu bukti yang kukuh bahawa, dengan kedatangan haid, bukanlah menjadi penghalang para suami untuk tidur satu selimut dengan isterinya.
Disamping itu juga, jika difikirkan dari sudut psikologi pula, kita akan dapati tindakan sebegini merupakan satu kemuliaan yang diberikan oleh islam kepada kaum perempuan. Jika ini dilarang, pasti kaum perempuan akan merasakan bahawa diri mereka seakan-akan tidak berguna dikala sedang berhaid, sedangkan haid itu bukanlah pilihan dirinya, tetapi ia adalah ketetapan fitrah yang telah disediakan oleh Allah SWT.
Jika dilihat kepada hadis ini, kita dapat melihat bagaimana tindakan Ummu Salamah yang pada awalnya ingin menjauhkan diri dari Rasulullah SAW disebabkan beliau sedar bahawa beliau sedang berhaid, tetapi dipanggil balik oleh nabi SAW walaupun setelah diberitahu bahawa beliau sedang berhaid.
Dengan ini, menunjukkan bahawa, Nabi SAW amat memandang kepentingan tidur bersama dengan isterinya, malahan dalam satu selimut, walaupun isterinya itu sedang berhaid. jika dalam berhaid pun nabi SAW masih tidur satu selimut dengan isterinya, maka terlebih utama nabi SAW tidur satu selimut dengan isterinya dikala mereka tidak berhaid.
Kepada kaum lelaki, hadis ini selayaknya dijadikan pengajaran dalam usaha hendak melahirkan rumah tangga yang bahagia. Isteri mana tidak merasakan berbangga, jika mereka sering dihargai oleh suaminya. Walaupun, penghargaan itu tidak diluahkan dari sudut kata-kata, tetapi dengan luahan bentuk perbuatan seperti tidur satu selimut pun sudah cukup bagi isteri merasakan penghargaan diri suami berikan kepada mereka.
Juga perlu diingat, keizinan tidur satu selimut dengan isteri yang berhaid itu bukan bermakna islam membenarkan melakukan jimak. Ini kerana, Allah melarang berlaku jimak dengan isteri yang sedang berhaid.
Firman Allah;
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ
Maksudnya;
“Mereka bertanya kepadamu tentang haidh. Katakanlah: "Haidh itu adalah suatu kotoran." Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haidh; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci”
(Surah Al-Baqarah : 222)
Oleh itu, bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini ketika tidur bersama isteri yang sedang berhaid, hendaklah dipastikan isteri tersebut memakai pakaian yang tidak mendatangkan ghairah kepada suami, disamping itu juga, hendaklah isteri hindarkan diri dari berkata-kata dan bertindak tanduk dengan tindakan yang boleh mendatangkan syahwat kepada suami.
Pada diri suami pula, jika bimbang berlaku jimak dengan isteri sekiranya tidur bersama isteri dalam satu selimut, maka hendaklah suami tidur di atas katil yang sama, tetapi menggunakan selimut yang berbeza. Jika masih lagi mendatangkan syahwat, maka hendaklah dia tidur di atas katil yang berbeza.
Adapun tindakan keluar dari rumah dengan tidur di tempat lain, atau meminta isteri menjauhi suami dari tempat tidur, maka itu adalah tindakan yang tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi jika dengan tindakan sedemikian boleh mendatangkan ”jiwa terluka” oleh isteri.
Sekian
[1] As-Sunan Al-Kubra : 275.