KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 13
UNDI PARA ISTERI DALAM SESUATU PERMUSAFIRAN
Bermusafir dan bermuqim menjadi kebiasaan bagi manusia. Dalam bermusafir, Islam memberikan beberapa kemudahan kepada muslim, antaranya adalah, dibenarkan menjamakkan solat antara solat asar dan solat zohor dan solat Isya’ dengan Solat Maghrib; dibenarkan mengqasarkan solat yang berbentuk rubaiyyah (baca : solat jenis empat rakaat); dibenarkan berbuka puasa di bulan Ramadhan dan sebagainya.
Bagi permusafiran, digalakkan perjalanan itu berlaku lebih dari 2 orang. Permusafiran yang dilakukan bersendirian dan berkeseorangan, adalah tindakan yang tidak digalakkan oleh nabi SAW. ini dibimbangi berlaku berbagai-bagai kesusahan dalam perjalanan, memungkinkan wujud orang yang boleh berbincang dan membantu dalam menyelesaikan sebarang kesusahan tersebut.
Sabda Nabi SAW;
الرَّاكِبُ شَيْطَانٌ وَالرَّاكِبَانِ شَيْطَانَانِ وَالثَّلَاثَةُ رَكْبٌ
Maksudnya;
”seorang yang bermusafir adalah seekor Syaitan; dua orang yang bermusafir adalah dua ekor Syaitan. Dan tiga orang bermusafir adalah orang yang sebenarnya bermusafir[1]”
Ada ulama mensyarahkan hadis ini – seperti kitab Al-Muntaqa syarah kepada kitab Muwatta’ – menyatakan, maksud dengan syaitan bagi seorang yang bermusafir adalah kerana apabila menyendiri, atau berdua dalam permusafiran, memungkinkan berlaku amalan-amalan syaitan, seperti melakukan amalan maksiat tanpa ditegur, atau salah seorang akan merasa malu atau segan untuk menegur jika seorang lagi melakukan maksiat.
Adapun jika tiga orang dalam permusafiran, akan wujudlah jemaah, yang sudah pasti akan wujud unsur tegur-menegur jika ada salah seorang itu melakukan maksiat, atau wujud perasaan malu untuk tidak menegur terhadap kawan permusafiran yang melakukan maksiat[2].
Memahami dari hadis ini, menunjukkan dalam permusafiran tidak digalakkan dilakukan seorang diri, bahkan hendaklah disertai dengan beberapa orang teman sehingga melebihi dari dua orang.
Disamping itu juga, apabila sebut permusafiran, pasti akan wujud unsur menjelajah ke tempat-tempat baru, yang sudah pasti akan mendapat satu pengetahuan baru tentang sesuatu tempat yang dijelajahi. Keadaan ini sudah pasti mewujudkan satu keseronokkan.
Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti di kalangan isteri-isteri Nabi akan berasa mahu mengikut sama dalam sesuatu permusafiran Nabi SAW. pun begitu, adalah satu tindakan yang tidak tepat jika permusafiran itu menyebabkan Nabi membawa semua isteri-isteri baginda.
Bagi menyelesaikan masalah itu, Baginda SAW telah mengadakan pengundian antara mereka untuk memilih, manakah dikalangan mereka yang turut sama dengan nabi dalam sesuatu permusafiran.
Keadaan ini disumberkan kepada hadis Aisyah R.Ha yang berkata;
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَخْرُجَ سَفَرًا أَقْرَعَ بَيْنَ أَزْوَاجِهِ فَأَيَّتُهُنَّ خَرَجَ سَهْمُهَا خَرَجَ بِهَا مَعَهُ
Maksudnya;
“Apabila Rasulullah SAW mahu keluar bermusafir, nabi SAW akan mengundi di antara isteri-isteri Baginda untuk memilih dikalangan mereka, manakah nama mereka keluar, maka isteri itulah akan bermusafir bersama baginda SAW[3]”
Jika diperhatikan tindakan nabi SAW ini, didapati Nabi SAW tidak akan bertindak memilih mengikut kehendak nabi untuk membawa mana-mana isterinya turut sama bermusafir. Jika ini dilakukan, pasti akan wujud perasaan tidak puas hati dari kalangan isteri yang tidak dibawa oleh nabi dalam permusafiran.
Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini, disamping mahu mewujudkan suasana yang adil dengan para isteri, menyebabkan Nabi SAW bertindak melakukan undi terhadap nama-nama mereka bagi mana-mana permusafiran sekalipun.
Tindakan sebegini, sedikit sebanyak akan melahirkan perasaan “berpuas hati” antara sesame para isteri, lantaran akan melahirkan hubungan harmoni sesama mereka.
Bagi para suami yang berpoligami, hadis ini sedikit sebanyak telah mengajar kepada mereka tentang cara berpoligami yang membawa kepada keadilan dalam berumah tangga. Jika hadis ini berjaya dijadikan amalan oleh para suami yang berpoligami, pasti unsur “tidak puas hati” itu akan terhapus antara sesame isteri, dan sudah pasti keadilan akan terwujud lantaran keharmonian antara isteri itu yang menjadi factor pembantu dalam mewujudkan keadilan tersebut.
Sekian
[1] Muwatta’ : 1548.
[2] Al-Muntaqa : 4/432.
[3] Al-Bukhari : 2467.