KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 18
MESRA DAN MANJA DALAM PANGGILAN
Panggilan manja mempunyai daya penarik yang kuat untuk melunakkan hati perempuan. Apabila mereka marah, kepanasan api marah bisa disejukkan dengan air panggilan manja.
Dari sudut psikologi, panggilan manja tidak boleh digunakan sehari-hari. Dibimbangi "auranya" menjadi biasa. Apabila ia menjadi biasa, sudah pasti ia menjadi tidak berharga.
Orang yang mendapat kereta baru, dia akan menjaga kereta baru itu dengan sebaik-baiknya. Malam sukar untuk tidur, kerana pemikiranya terikat dengan kereta baru. Pun begitu, apabila kereta baru itu sudah sampai kepada umur yang lanjut, perasaan "sukar tidur" malam itu sudah tiada lagi. Semuanya kerana, kereta itu menjadi penglihatan matanya sehari-hari.
Begitujuga, orang yang baru pandai memandu, pantang nampak kunci kereta, terasa sahaja mahu memandu. Tetapi, apabila sudah hari-hari memandu, masakan kunci kereta, melihat kereta pun kadang-kadang tidak melahirkan perasaan gelojoh mahu memandu lagi.
Persoalannya, mengapa perasaan begitu terjadi???
Ianya kerana "aura" sudah kehabisan nilai. Bagaimana "aura" itu boleh kehabisan nilai?
Puncanya apabila ianya sudah menjadi bahan harian.
Keadaan yang sama juga ketika berinteraksi dengan isteri. Kebiasaan nabi SAW memanggil isteri dengan panggilan biasa. Tetapi, dalam keadaan tertentu, nabi Saw menjadikan panggilan manja sebagai senjata tajam dalam melahirkan kemesraan.
Diceritakan dalam hadis, bahawa Aisyah ada berkata;
إن أول سورة تعلمتها من القرآن طه ، فكنت إذا قلت : طه ما أنزلنا عليك القرآن لتشقى قال صلى الله عليه وسلم : « لا
شقيت يا عائش »
Maksudnya;
"Sesungguhnya surah yang mula-mula sekali aku pelajari daripada Al-Quran adalah surah Taha. Jika aku membaca "Taha.. tidaklah kami turunkan Al-Quran itu untuk kamu menjadi celaka" bersabda Nabi SAW : kamu tidak akan jadi celaka wahai 'Aisy[1]"
Hadis ini dapat dilihat, tindakan nabi SAW memanggil dengan panggilan manja itu bukanlah merupakan panggilan selalu, tetapi dalam masa-masa tertentu sahaja. Tindakan nabi melakukan sedemikian, agar aura panggilan manja itu tidak kehabisan nilai.
Bahkan jika diperhatikan kepada hadis lain, antara tindakan Nabi tempat nabi SAW memanggil isteri dengan panggilan manja, apabila baginda SAW ingin menegur isterinya yang melakukan kesilapan.
Ini disandarkan kepada hadis;
كانت عائشة رضي الله عنها إذا غضبت عرك النبي صلى الله عليه وسلم بأنفها ، ثم يقول : « يا عويش ، قولي : اللهم رب محمد ، اغفر لي ذنبي ، وأذهب غيظ قلبي ، وأجرني من مضلات الفتن »
Maksudnya;
"ketika Aisyah sedang marah, nabi SAW memicit hidungnya, lalu berkata : ya 'Uwaisy, katakanlah; Ya Allah yang merupakan tuhan Muhammad. Ampunilah untuku dosaku. Dan hilangkan kekerasan hatiku, dan selamatkan aku daripada fitnah yang menyesat[2]"
Dari hadis ini, kita dapat melihat bagaimana bijaknya nabi SAW dalam mengurus psikologi isterinya dalam menegur.
Apabila kita menegur kesilapan isteri, kadangkala melahirkan perasaan isteri yang agak kurang menerima teguran. Perasaan itu timbul, ekoran mereka dalam keadaan ego.
Justeru, bagi melahirkan perasaan mereka boleh menerima teguran, psikologi yang digunakan nabi SAW adalah memanggilnya dengan panggilan yang mempunyai unsur manja dan mesra. Ini kerana, apabila unsur manja ini digunakan, pasti perasaan mahu menolak teguran tidak akan berlaku.
Oleh itu, kepada para suami, jadikan hadis ini sebagai tauladan dalam menghadapi ranjau dalam berumah tangga. Panggilan manja perlu dijadikan sesuatu yang berharga. Sesuatu yang berharga, tidak boleh digunakan selalu, kerana nilainya akan lupus dari sudut perasaan hati.
Justeru, jadikanlah panggilan manja ini sebagai alat untuk meleraikan masalah, dikala berlaku krisis dan sebagainya.
Adapun panggilan harian, perlu juga mempunyai unsur bermanja, seperti soerang lelaki yang mempunyai isteri bernama Sabariyyah, maka dipanggilnya dengan "Yah" sahaja; hamidah, dipanggil dengan "mida" sahaja; Hafiza, dipanggil dengan "Fiza" sahaja dan seterusnya
Pun begitu, perlu ada juga "panggilan simpanan", dengan menyediakan panggilan yang lebih mesra dan manja berbanding panggilan mesra harian. Seperti "Wahai Sabariah Si kecil molek", "Wahai Mida si cantik manis", "Wahai Fiza si jantung hati" atau seumpama dengannya.
Ianya bukan untuk digunakan harian, tetapi sebagai panggilan untuk memberi ruang kepada hati perempuan menilai cinta dikala menghadapi krisis.
Fikir-fikirkanlah wahai para suami….
Sekian
[1] Sab'ah majlis : 10
[2] 'Aml Al-Yaum wa Al-lailah : 454.