KEKAYAAN DAN FALSAFAHNYA..
Assalamualaikum..mungkin post ini agak panjang, tetapi insyaAllah, tidak rugi membacanya..
Apabila menyebut kekayaan atau kaya, yang cepat menangkap
pada fikiran umum atau apa yang cepat teringat oleh
kebanyakan orang ialah kekayaan harta dan wang ringgit.
Kebanyakan orang tidak terfikir bahawa ada kekayaan-kekayaan
yang lain. Kalaupun ada yang terfikir bahawa kekayaan itu
bukan harta dan wang ringgit sahaja atau bukan semata-mata
wang ringgit dan harta, tapi kekayaan bentuk lain itu kurang
diminati atau kurang sangat diperkatakan dan dibualkan orang.
Ini menunjukkan di antara fitrah semula jadi manusia ialah
ingin kaya atau kekayaan. Yang sangat menjadi tarikan dan minat
ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Ini menunjukkan
kekayaan wang ringgit dan harta atau kekayaan mata benda
dunia sangat mempengaruhi jiwa dan fikiran manusia.
Justeru itulah kita lihat di dalam pengalaman hidup manusia
bahawa manusia itu bertungkus-lumus pagi dan petang, siang
dan malam bekerja keras mencari kekayaan harta dan wang
ringgit, bahkan mereka mencari ilmu, berkawan, bahkan adakalanya
berkahwin pun adalah kerana dengan tujuan untuk
mencari kekayaan harta dan wang ringgit. Begitulah pengaruh
kekayaan wang ringgit dan harta kepada kebanyakan manusia.
BAHAGIAN KEKAYAAN
Yang sebenarnya kekayaan di dalam kehidupan manusia di
dunia ini bukan kekayaan harta dan wang ringgit sahaja. Banyak
lagi kekayaan lain yang jarang diperkatakan oleh manusia.
Bahkan ada kekayaan yang lebih baik daripada wang ringgit
dan harta. Di bawah ini kita akan senaraikan bahagian-bahagian
kekayaan di dalam kehidupan manusia di dunia ini:
1. Kaya dengan wang ringgit dan harta
2. Kaya ilmu dan pengalaman
3. Kaya dengan anak-anak
4. Kaya dengan pengikut
5. Kaya jiwa
6. Kaya budi bahasa
7. Kaya dengan kawan dan kenalan
KEKAYAAN WANG RINGGIT DAN HARTA
Salah satu tarikan kepada manusia ialah kekayaan harta dan
wang ringgit. Di sini ada dua golongan manusia; satu golongan
mencari harta dengan yang halal semata-mata dan satu golongan
lagi mencari harta tidak kira halal dan haram semuanya disapu
belaka. Apa sahaja yang boleh mendatangkan kekayaan, dia buat
sama ada dengan judi, tipu, menjual arak, rasuah, membuka
rumah pelacuran, disko dan sebagainya.
Islam tidak melarang umatnya mencari kekayaan kerana ia
sesuai dengan fitrah manusia itu tapi dengan beberapa syarat
iaitu:
1. Hendaklah mencari kekayaan dengan cara halal.
2. Apabila kaya, cukup haul, hendaklah membayar zakat.
3. Hendaklah menjadi orang pemurah.
4. Hendaklah digunakan kekayaan itu kepada jalan Allah
seperti membantu fakir miskin, membangunkan rumah
ibadah atau tempat pendidikan, membantu orang berdakwah
dan lain-lain lagi.
5. Jangan ada pembaziran dan membuang-buang harta tidak
menentu.
6. Jangan digunakan untuk maksiat dan menderhakai Allah
Taala.
7. Jangan mencari harta hingga meninggalkan perkara-perkara
yang asas di dalam Islam seperti mengabaikan fardhu ain,
jangan meninggalkan sembahyang, puasa, sampai masa
hendaklah naik haji.
8. Kena tunaikan wajib yang aradhi seperti pada satu masa
masyarakat Islam perlukan satu bangunan untuk pendidikan,
masyarakat umum di kalangan umat Islam sudah
tidak mampu lagi memberi derma kerana susahnya, maka
orang yang kaya pada mereka adalah wajib aradhi membiayai
bangunan itu kerana dia mampu.
9. Orang kaya mesti sanggup jadi bank kepada masyarakatnya.
Hayati cerita di bawah:
Ummul Mukminin Aisyah r.a berkata bahawa dia pernah
mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Kulihat Abdul Rahman
bin Auf masuk Syurga dengan merangkak.”
Sebahagian Sahabat menyampaikan cerita Aisyah itu kepada
Abdul Rahman, lalu dia pun menemui Aisyah dan berkata:
“Engkau telah memperingatkan aku suatu Hadis yang tak
pernah kulupa akannya. Dengan ini saksikanlah bahawa seluruh
kafilah ini dengan muatannya kupersembahkan untuk fisabilillah.”
Dia juga pernah berkata, “Sungguh kulihat diriku, seandainya
aku mengangkat batu nescaya kutemukan di bawahnya emas
dan perak.”
Dia sering menangis dan berkata, “Sesungguhnya aku khuatir
dipisahkan dari sahabat-sahabatku kerana kekayaanku yang
melimpah.”
Justeru itu segala kekayaan yang ada dilaburkannya di jalan
Allah. Sehingga pernah dikata orang:
“Seluruh penduduk Madinah berserikat dengan Abdul Rahman
bin Auf pada hartanya. Sepertiga dipinjamkan kepada
mereka, sepertiga lagi dipergunakannya untuk membayar hutang-
hutang mereka dan sepertiga sisanya diberikan dan dibahagikan
kepada mereka.”
Dalam Al Quran ada menyebut:
Maksudnya: “Umpama orang yang menafkahkan
hartanya kerana mengkehendaki keredhaan Allah dan
menetapkan (keimanan) hatinya.” (Al Baqarah: 265)
KEKAYAAN ILMU DAN PENGALAMAN
Ajaran Islam sangat menggalakkan kepada penganutnya menuntut
ilmu sama ada ilmu dunia mahupun ilmu Akhirat.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Allah yang menciptakan tujuh langit dan
tujuh bumi, seperti langit, turun berkali-kali perintah Allah
antara langit dan bumi supaya engkau memperoleh ilmu,
supaya kamu sekalian mempunyai ilmu, bahawa Allah itu
kuasa atas segala sesuatu dan bahawa Allah sudah berilmu,
sudah mengetahui segala sesuatu yang meliputi ilmu itu
untuk segala sesuatu.” (At Talaq: 12)
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Keutamaan seorang yang berilmu pengetahuan
ke atas seorang yang banyak ibadahnya, laksana
keutamaanku ke atas serendah-rendah orang dari golongan
Sahabatku.”
Mengapa Allah Taala menggalakkan umat Islam menguasai
ilmu sama ada ilmu dunia dan Akhirat. Di antara hikmahnya
ialah:
1. Agar mengenal Allah Taala dan boleh menyembah-Nya
serta takut dengan-Nya kerana Dia berkuasa di atas kita.
2. Supaya umat Islam tidak buta ilmu agar dari ilmu berbagaibagai
maklumat boleh diketahui.
3. Agar umat Islam terpimpin dengan syariat-Nya di dalam
seluruh kehidupannya dan berakhlak mulia.
4. Agar dengan ilmu dan pengalaman manusia boleh maju di
dalam seluruh aspek kehidupan.
5. Agar umat Islam cinta dengan Akhirat dan mengutamakannya
daripada dunia.
6. Agar umat Islam dengan ilmunya mudah menarik dan
mempengaruhi orang yang bukan Islam masuk Islam.
7. Agar umat Islam dengan ilmu dan pengalamannya pandai
mengendalikan urusan kehidupan hingga mudah dan
senang menguruskannya.
8. Agar layak menjadi khalifah Allah Taala di bumi.
9. Agar dapat memimpin manusia ke jalan yang benar.
KAYA DENGAN ANAK-ANAK
Islam menggalakkan penganut-penganutnya berkahwin, bahkan
lelaki dibolehkan berkahwin sehingga empat isteri agar
mendapat zuriat yang banyak. Rasulullah SAW berbangga
dengan umatnya yang ramai. Kaya dengan anak ini dengan
tujuan seperti berikut:
1. Untuk menghibur Rasulullah SAW, kerana Rasulullah SAW
berbangga dengan umat atau pengikut yang ramai.
2. Agar zuriat yang ramai itu dapat dididik secara Islam,
dengan itu wujudlah suatu masyarakat Islam yang kecil
yang akan menjadi tapak kepada masyarakat Islam yang
lebih besar.
3. Anak-anak yang ramai yang terdidik dengan Islam adalah
menjadi aset dan tenaga pelapis menyambung perjuangan
ibu dan bapa untuk mengembangkan ajaran Islam.
4. Agar dengan ramainya anak-anak, terdidik pula dengan
ajaran Islam, akan memberi pahala yang banyak kepada dua
ibu bapanya, bahkan berkekalan selepas wafat ibu bapanya.
5. Agar kita bersyukur kepada Allah Taala kerana anak-anak
itu adalah cahaya mata yang merupakan nikmat daripada
Allah Taala, dengan itu kita dapat pahala syukur.
6. Agar dengan anak-anak yang banyak terasa kebesaran dan
kekuasaan Allah Taala, ia merupakan ayatullah.
Biasanya apa yang terjadi pada orang banyak anak:
1. Secara umum umat Islam sudah tidak mendidik anak-anaknya
dengan didikan Islam. Oleh itu lahirlah anggota masyarakat
yang menyusahkan ibu bapa dan menjadi perosak
kepada agama, bangsa dan negara.
2. Ibu bapa menjadikan anak-anak aset untuk mendapatkan
kekayaan dunia semata-mata.
3. Berbangga dan sombong dengan anak-anak yang banyak
dan berjaya mendapat pangkat dan kekayaan dunia.
4. Tidak ada pun menjadi cita-cita ibu bapanya bahawa anakanak
yang ramai hendak dijadikan tenaga penyambung
memperjuangkan Islam.
5. Tidak ada cita-cita hendak menjadikan anak-anak atau keluarga
sebagai tapak masyarakat Islam.
KAYA DENGAN PENGIKUT
Bagi umat Islam yang ada ilmu, ada karisma memimpin akan
terjadi nanti ada pengikut-pengikut atau orang ramai cenderung
kepadanya. Maka jadilah ia pemimpin secara fitrah semula jadi
dengan tujuan:
1. Boleh mempersatukan umat Islam dengan daya dan karisma
pemimpin itu.
2. Agar mereka dapat dididik secara Islam supaya kelak akan
menjadi masyarakat contoh untuk memudahkan orang lain
mengikut.
3. Supaya mereka dapat dijadikan tenaga untuk memperjuangkan
syariat Islam agar Islam bertambah luas dan dapat
menegakkan Islam secara global.
4. Agar dengan tenaga pengikut itu dapat diasuh supaya dapat
bertolong bantu, dapat menegakkan amal makruf nahi
mungkar.
Biasanya terjadi kepada pemimpin terhadap pengikutnya yang
ramai:
1. Pemimpin biasanya berbangga-bangga dan sombong
dengan banyaknya pengikut.
2. Pengikut tidak diasuh dan dididik secara Islam bahkan dididik
secara dunia atau sekular semata-mata.
3. Para pemimpin menggunakan tenaga pengikut yang ramai
untuk kepentingan diri.
4. Tidak diajak mereka berjuang untuk mengembangkan ajaran
Islam serta menegakkan Islam secara syumul di dalam
kehidupan.
5. Bahkan terdapat pemimpin menggunakan tenaga pengikut
menentang para pejuang menegakkan Islam di dalam kehidupan.
KAYA JIWA
Orang yang kaya jiwa ialah orang yang kuat imannya, kental
keyakinannya. Akhirat menjadi matlamat bahkan memang
sentiasa ditunggu-tunggu. Terhadap dunia - ada dengan tiada,
sama sahaja. Ada pun tidak menggugat jiwanya, tiada pun tidak
menggugat jiwanya. Berasa puas apa yang ada. Banyak atau sedikit
serupa sahaja. Dia rasa kaya dengan Tuhan. Harta kalau
tidak ada, tidak menyusahkan jiwanya. Kalau ada pula, terhibur
dengan memberi. Tidak memberi lebih susah hatinya, apabila
memberi lapang hatinya. Tenang hatinya dengan ujian dan
kesusahan, kecuali sedikit mengikut fitrah semula jadi.
Orang yang kaya hati atau jiwa itu orang yang tidak dapat
digugat oleh dunianya, sama ada kesusahan yang menimpa
mahupun kesenangan yang mendatang, kecuali yang bersifat
fitrah semula jadi yang tidak mencacatkan. Dunianya di tangan
bukan di hati. Orang yang kaya jiwa ini, dunianya tidak dapat
melalaikannya. Bahkan kalau dunia ada di tangan, terhibur hatinya
jika memberi, susah hati jika tidak memberi.
Orang yang kaya jiwa ini Allah Taala berfirman:
Maksudnya: “Tidak merasa takut dan tidak berdukacita.”
(Yunus: 62)
Maksudnya: “Orang-orang Tuhan, dengan sebab mereka
itulah manusia diberi bantuan, diberi rezeki, dijauhi daripada
bala bencana.”
Orang yang kaya jiwa tidak rasa inferiority complex dengan
orang kaya, raja, cerdik pandai, orang yang berkuasa dan lainlain
lagi. Orang-orang Tuhan ini, awas, jangan susahkan dia,
Allah Taala akan turunkan bala. Kalau tidak jangka pendek, akan
berlaku jangka panjang. Kalau mereka disusahkan, ya, mereka
hamba Allah, mungkin mereka susah, untuk meninggikan darjat
mereka di Akhirat. Tapi Allah Taala akan susahkan manusia yang
menyusahkannya di dunia lagi. Contohnya para nabi dan rasul,
kalau mereka disusahkan, memang mereka pun mendapat kesusahan
seperti dibunuh, dipenjara, disingkir daripada negaranya,
difitnah, diberi malu. Tetapi apa yang Allah telah lakukan kepada
manusia yang menyusahkannya? Tidak perlu saya sebutkan di
sini, bacalah sejarah mereka.
Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Ulama itu racun, sesiapa yang memakannya,
dia binasa.”
Orang yang kaya jiwa ini dengan dunia mudah sahaja. Kalau
ada, mereka rasa tanggungjawab mereka kepada agama dan
masyarakat amat berat kerana itulah mereka susah hati kalau
mendapat kekayaan dunia. Ditakuti tidak boleh bertanggungjawab
kepada masyarakat. Kalau dunia tiada di tangan, senang
hati mereka kerana ringan tanggungjawab mereka di dunia ini.
Orang yang kaya jiwa ini, kalau mereka kaya harta, ramai
boleh menumpang sama kerana dia tidak terpengaruh dengan
harta kekayaan yang dimilikinya. Fakir miskin terbela, orang
susah dibantu, yang memerlukan diberi, yang meminta dikasihi,
orang yang berhutang diselesaikan hutangnya.
Orang yang kaya jiwa kalau dia kaya, dia menjadi bank
kepada masyarakatnya. Kalau ada orang lain yang mendapat
kesenangan, dia dapat bersekutu bersama rasa senang itu. Kalau
dia mendapat kesusahan, hatinya tidak pula susah kecuali
sekadar fitrah semula jadi.
KAYA DENGAN BUDI BAHASA
Orang ini adalah kerana didorong oleh iman, maka akhlaknya
mulia, lapang dada dengan kerenah manusia, mesra dengan
orang, tetamu dimuliakan, kawan dijaga, pemurah dengan
tenaga, harta, ilmu dan dengan senyuman, lemah lembut, pemaaf,
mudah minta maaf, pemalu, bahasanya dijaga, sekali
keluar bak mutiara penuh dengan ilmu dan penuh dengan
hikmah. Dia senang dengan orang, orang senang dengan dia.
Jika ada orang yang hasad dengki atau menyusahkannya, dia
mendoakannya dengan kebaikan. Dia tidak pernah gelisah
dengan kejahatan orang. Orang yang menyusahkannya pula
yang susah dan gelisah. Orang yang berbuat jahat dengannya
pula yang tidak tenang. Orang yang menyusahkannya rasa
gelisah di hadapannya, orang yang disusahkan tenang sahaja.
Sebab itulah orang yang kaya dengan budi bahasa, ini kalau ada
orang membuat salah kepadanya, orang itulah yang sangat terseksa
kalau orang itu bertemu dengannya. Kalau boleh hendak
dielak-elakkan daripada bertemu.
Orang yang kaya dengan budi bahasa itu tidak suka menyusahkan
orang bahkan suka menghiburkan dengan bantuan dan
pertolongan, suka menziarahi orang khususnya kawan-kawannya.
Orang terhibur dengan keberadaannya walaupun orang
malu dengannya. Suka memberi hadiah kepada orang terutama
kawan-kawannya, sangat mengenang jasa orang, budi orang
dibalas. Orang datang berziarah, dia senang menerimanya.
Orang yang kaya dengan budi bahasa ini senang berbincang
dengannya, mudah berkira, boleh berlebih kurang, mudah berkawan,
tidak pernah tidak menunaikan hajat orang. Kalau hajat
orang tidak boleh ditunaikan, susah hatinya, mudah menolong
orang, hutang orang kepadanya tidak pernah dimintanya.
KAYA DENGAN KAWAN DAN KENALAN
Biasanya orang ini suka bergaul dengan orang, jauh perjalanannya
dan suka merantau. Maka terjadilah banyak kawan dan kenalan
dan banyak juga pengalaman. Tujuan banyak kawan dan
kenalan itu agar dapat belajar dengan pengalaman, yang baik
diambil, yang buruk ditinggalkan. Yang baik dijadikan pengajaran,
yang jahat dijadikan sempadan. Allah Taala ada berfirman:
Maksudnya: “Berjalanlah di atas muka bumi ini maka
lihatlah bagaimana kesudahan orang yang berdusta.” (Ali
Imran: 137)
Orang yang banyak kawan dan kenalan kenalah tunaikan
hak-haknya. Apabila bertemu beri salam. Apabila diberi salam
jawablah salamnya. Apabila dia susah, kenalah tolong. Apabila
dijemput ke rumahnya kenalah pergi tunaikan jemputannya,
kecuali kalau jemputan itu ada maksiat dan kemungkaran. Di
waktu-waktu tertentu kenalah memberi hadiah. Di waktu kawan
mendapat kesenangan, lahirkanlah sama rasa kegembiraan dan
kesenangan itu.
Di waktu kawan mendapat kemalangan dan kesusahan,
lahirkanlah rasa kesusahannya. Ertinya rasa kesusahan dan
kesenangan bagi orang mukmin hendaklah dikongsi bersama.
Berkirim-kirim salamlah dengan kawan-kawan. Di waktu agak
sudah lama tidak bertemu, ziarahilah ke rumahnya dan bawalah
buah tangan. Tujuannya ialah untuk mengekalkan kasih sayang.
Di waktu kematiannya atau keluarganya, ziarahilah sebagai
mengucapkan takziah.
Tapi apa yang biasanya berlaku, orang yang kaya kawan dan
kenalan itu tidak mengikut syariat Islam. Dengan ramainya kawan
dan kenalan, dia mengambil peluang meminta tolong selalu,
suka berhutang dengan kawan, ziarah kawan dengan tujuan
menyusahkan kawan, tidak ada pun hendak bawa buah tangan,
ziarah-menziarahi sudah tidak berlaku. Kebaikan kawan tidak
ditiru dan kejahatannya dijaja merata-rata. Berkirim-kirim salam
sudah tidak berlaku. Kesusahan kawan tidak pun ingin membantu.
Dia berfikiran biarlah kawan memikirkan kesusahannya.
Bukannya dia hendak memikirkan kesusahan kawannya.
Begitulah di akhir zaman ini berkawan tidak setia, berkenalan
tidak jujur bahkan berkawan itu hanya sementara waktu, di
waktu susah, di waktu berdagang, kerana berkawan di waktu
itu amat perlukan bantuan. Selepas itu berkawan sudah tidak
berlaku lagi.
Sebagai penutupnya, jarang umat Islam itu yang mendapat
kekayaan di semua perkara, iaitu kaya harta, kaya ilmu, kaya
anak, kaya pengikut, kaya jiwa, kaya budi bahasa, kaya kawan
dan kenalan. Kalau ada orang yang mendapat semua kekayaan
ini, dia adalah manusia luar biasa. Setengah orang itu kaya satusatu
perkara atau dua perkara atau tiga perkara, tidak lebih daripada
itu.
Kalau kita tidak boleh kaya di dalam semua perkara, carilah
kekayaan ilmu dan pengalaman, kekayaan jiwa dan kekayaan
budi bahasa. Ini sudah cukup untuk menjadi manusia yang
berguna di dunia dan Akhirat.
PERJUANGAN YANG PALING SELAMAT
Perjuangan yang paling selamat ialah memperjuangkan kekayaan
ilmu, kekayaan budi bahasa dan kekayaan jiwa. Memperjuangkan
kekayaan-kekayaan yang kita sebut itu membawa
kepada keamanan, kasih sayang dan keharmonian.
Memperjuangkan kekayaan ilmu, kekayaan budi bahasa dan
kekayaan jiwa, semua manusia selamat. Berebutkan kekayaan
ini tidak ada pertarungan, tidak ada jatuh-menjatuhkan, tidak
ada peperangan. Ia berjalan dengan aman, kasih sayang, banyak
kawan, bertolong bantu dan keharmonian.
Kalau bangsa-bangsa di dunia ini, kekayaan yang tiga itulah
menjadi matlamat hidup dan lantas memperjuangkannya,
alangkah indahnya dunia ini dan alangkah bahagianya manusia
dan akan jadilah manusia laksana satu keluarga.
Tidak ada agama di dunia ini dan juga tidak ada sebarang
ideologi di dunia ini yang mengambil serta memperjuangkan
kekayaan tiga perkara ini melainkan agama Islam sahaja. Tapi
oleh kerana umat Islam jiwanya telah rosak, mereka mendapat
didikan dari orang kafir khususnya bangsa-bangsa Barat, maka
di waktu itu umat Islam tidak lagi menjadi matlamat memperjuangkan
tiga kekayaan itu. Bahkan apa yang diperjuangkan oleh
umat Islam hari ini ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Maka
sudah tidak ada lagi bezanya orang yang bukan Islam dengan
orang Islam kecuali golongan yang sedikit.
Oleh itu tidak hairanlah masyarakat umat Islam tidak jauh
beza dengan masyarakat orang bukan Islam. Apa sahaja gejala
masyarakat atau penyakit masyarakat wujud di dalam masyarakat
orang yang bukan Islam, itulah juga yang wujud di dalam
masyarakat umat Islam. Kita hendak betulkan semula amat
susah dan payah sekali kerana rintangan dan halangan itu datang
daripada umat Islam sendiri.wallahua'lam..