KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 22
MEMBELAI ISTERI
Membelai isteri memperlihatkan isteri mendapat pembelaan. Suami yang membelai bisa digambarkan sebagai pendekar yang sedang mempertahankan permaisurinya.
Rasa mendapat pembelaan merupakan satu wajah dalaman hati perempuan bahawa mereka sedang dihargai. Dari situ, bermulanya kebahagiaan hidup.
Rasulullah SAW telah membuktikan kebahagiaan bentuk ini. diamalkan sebagai rutin harian, walaupun terpaksa berhadapan dengan masa sebuk yang keterlaluan.
Aisyah R.ha berkata;
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ يَوْمٍ إِلَّا وَهُوَ يَطُوفُ عَلَيْنَا جَمِيعًا امْرَأَةً امْرَأَةً فَيَدْنُو وَيَلْمِسُ مِنْ غَيْرِ مَسِيسٍ حَتَّى يُفْضِيَ إِلَى الَّتِي هُوَ يَوْمُهَا فَيَبِيتَ عِنْدَهَا
Maksudnya;
“Nabi SAW sentiasa mengelilingi isteri-isteri baginda seorang demi seorang. Baginda SAW menghampiri kami dan membelai kami tanpa menyetubungi hinggalah Baginda SAW sampai ke rumah isteri yang masa gilirannya, maka dia bermalam disitu[1]”
Amat nyata, Nabi SAW tidak pernah mengabaikan perasaan hati para isteri, walaupun itu bukan malam gilirannya. Baginda SAW yang berpoligami, akan mengelilingi rumah para isteri semata-mata membelai mereka. sesampai di rumah isteri yang merupakan malam gilirannya, baru Baginda SAW bermalam di situ.
Tindakan Nabi SAW itu, bukanlah dilakukan secara bermusim, tetapi rutin harian. Nabi melakukan demikian, kerana tidak mahu “tawar hati” dalam hati para isteri, walaupun dalam masa sehari sekalipun.
Perhatian dalam dakwah, tidak mengabaikan Nabi terhadap para isteri. Ekoran itu tidak hairan, Allah memberikan izin kepada nabi berpoligami lebih dari umat.
Kepada para suami, jadikan hadis ini sebagai tauladan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berpoligami. Isteri adalah sebahagian dari kehidupan. Gembira mereka adalah gembira suami. Sedih mereka adalah sedih suami.
Jika isteri bersedih, membuatkan banyak perkara dalam urusan rumah tangga dilakukan dengan tidak ikhlas. Wujudnya tidak ikhlas itu, merupakan bibit permulaan krisis rumah tangga.
Justeru, keikhlasan antara suami isteri perlu dibina. Antara cara yang ditunjukkan oleh Nabi adalah, perhatian yang sewajarnya diberi, seperti belaian isteri tidak diabaikan.
Belaian ini, tidak semestinya datang dari suami, bahkan isteri juga perlu membelai suami. Belaian yang diberi, hendaklah bersesuaian dengan mood suami, agar belaian yang diberi hendaklah dipastikan mendapat kebahagiaan dalam rumahtangga.
Sekian
[1] Musnad Ahmad : 23621.