KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 15
TIDAK BERSALAH TETAPI MINTA MAAF
Setiap manusia pasti akan melakukan kesilapan. Kesilapan itu, sama ada melibatkan kepada dosa atau tidak melibatkan kepada dosa. kesilapan yang melibatkan kepada dosa, mewajibkan orang tersebut bertaubat kepada Allah.
Nabi SAW juga ada melakukan kesilapan. Kesilapan Nabi itu tidak melibatkan kepada dosa, malahan terus ditegur oleh Allah SWT.
Lihatlah teguran yang Allah berikan kepada Nabi SAW menerusi surah ”Abasa”, ekoran kesilapan nabi SAW yang melayan pembesar-pembesar Quraish dengan harapan mereka beriman dengan Allah tanpa melayan kehadiran seorang sahabat buta yang bernama Abdullah bin Ummi Al-Makhtum.
Amat nyata, Nabi SAW juga melakukan kesilapan, tetapi kesilapan itu tidak melibatkan kepada dosa, disamping tidak mencacatkan kenabian Nabi Muhammad SAW.
Kadangkala, dirasakan sesuatu tindakan itu bersalah kepada individu-individu tertentu, walaupun ianya sebenarnya tidak salah disisi Allah SWT.
Keadaan ini menimpa sendiri kepada diri Nabi SAW yang telah mengkritik terhadap tindakan para yahudi, sedangkan dalam masa yang sama, antara isteri Baginda adalah seorang perempuan yang asalnya beragama yahudi, tetapi memeluk islam, disamping bapanya pula masih lagi dengan agama lamanya.
Bapa Sofiyyah yang bernama Huyay bin Akhtab adalah pembenci utama terhadap Nabi SAW dari yahudi Kabilah Bani Nadhir. Berbagai-bagai tindakan yang dilakukan oleh beliau terhadap Nabi SAW. Beliau sering menyakiti hati Nabi SAW sehingga tindakan itu boleh disifatkan sebagai melampau.
Tindakan Huyay bin Akhtab itu menyebabkan nabi SAW bertindak mengkritik, sedangkan kritikan nabi itu didengari oleh anak Huyay yang merupakan Isteri Nabi SAW.
Mungkin hati Sofiyyah terluka?? Itu tidak dipastikan. Tetapi, bimbang ianya terluka, maka Nabi SAW menyediakan pencegah luka, agar luka itu tidak benar-benar terluka.
Sofiyyah ada bercerita;
ما رأيت قط أحسن خلقا من رسول الله صلى الله عليه وسلم ، لقد رأيته ركب بي من خيبر على عجز ناقته ليلا ، فجعلت أنعس فيضرب رأسي مؤخرة الرحل ، فيمسني بيده ويقول : « يا هذه مهلا يا بنت حيي » ، حتى إذا جاء الصهباء ، قال : « أما إني أعتذر إليك يا صفية مما صنعت بقومك ، إنهم قالوا لي كذا وكذا »
Maksudnya;
”Aku tidak pernah melihat manusia yang boleh mengatasi kebaikan akhlak Nabi Saw. aku menunggang kenderaan unta pada satu malam bersama Baginda. Aku ketika itu terlalu mengantuk menyebabkan kepalaku tersengguk-sengguk. Lalu, Baginda SAW menyentuhku sambil berkata; ”Wahai orang ini. tahan sedikit wahai anak perempuan Huyay (jangan cepat mengantuk). Apabila sampai di As-Sohba’, baginda berkata; ”aku minta maaf dari kamu wahai Sofiyyah daripada apa yang aku lakukan terhadap kaum kamu. Sesungguhnya, mereka berkata kepadaku begian begian...[1]”
Sudah nyata lagi jelas, tidak ada kesalahan kita mengkritik yahudi. Ajaran Al-Quran amat terang, bagaimana kritikan terhadap yahudi adalah sesuatu yang diizinkan. Bermakna, tindakan Nabi SAW adalah perkara yang tidak salah disisi Allah.
Pun begitu, bimbang hati Sofiyyah terluka ekoran tindakan Nabi mengkritik kaumnya, menyebabkan Nabi SAW memohon maaf terhadap Isterinya, agar, akan terubatlah luka jika ianya terluka. Atau menyelamatkan hati itu dari terluka, jika ianya belum terluka.
Meneliti kepada hadis ini, ada dua dan tiga perkara yang boleh kita pelajari demi mencapai kehidupan bahagia antara suami dan isteri. Antaranya adalah dengan menaiki kenderaaan bersama-sama. Juga, sering menjaga perasaan isteri agar ianya tidak terluka, walaupun kadangkala sesuatu tindakan kita itu sememangnya benar, atau semenangnya tindakan isteri kita itu memang salah.
Tegur kesalahan Isteri adalah wajib, jika tidak, pasti bengkok tulang rusuk semakin menjadi-jadi. Pun begitu, teguran yang dilakukan hendaklah berhikmah. Penuh dengan segala kebijaksanaan, agar tulang yang bengkok itu walaupun tidak berjaya diluruskan, tetapi sekurang-kuranya tulang yang bengkok itu tidak semakin bengkok.
Lihatlah Nabi SAW menerusi hadis ini. walaupun Baginda SAW melakukan satu tindakan yang tidak salah disisi Allah, bahkan tindakan itu adalah satu kebenaran, tetapi tetap meminta maaf kepada Sofiyyah, kerana bimbang hati Sofiyyah terluka.
Hati bila terluka, amat susah untuk diubati. Jika ianya berjaya diubati, dibimbangi melahirkan parut yang menjadi kenangan. Yang lebih bimbang, jika parut itu berdarah semula. Inikan pula hati perempuan yang diciptakan Allah dengan ciri-ciri kelembutan.
Sekian
Wallahu ’Alam
[1] Musnad Abi Ya’la : 6963