Tuntutlah ilmu sebelum ilmu itu diangkat. Ilmu diangkat dengan meninggalnya para ulama. Orang yang berilmu dan orang yang menuntut ilmu memiliki kedudukan yang sama dalam hal pahala. Sesungguhnya manusia itu hanya ada dua, orang yang berilmu dan orang yang menuntut ilmu. Dan tidak ada kebaikan pada diri manusia yang selainnya.

(Abu Darda')

siapa saya?

My photo
hanya seorang insan yang ingin membersihkan diri ini dari segala dosa..andai saja air mata ini dapat membasuh segala dosaku,maka ku pohon padaMU ya Allah janganlah Engkau keringkan ia dari mengalir ke pipi..aku hanyalah hambaMu yang hina..yang mengharap pengampunan dariMu..yang mencari jalanMu..yang akhirnya pasti kembali padaMu..
gravatar

KEPIMPINAN DARI PANDANGAN ISLAM

Manusia adalah makhluk atau kejadian yang termulia yang diciptakan oleh Allah.

Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna mula diterima sebagai tatasusila peradaban yang unggul serta dapat menjamin kebahagiaan, keselamatan manusia dan alam sejagat.

Umat manusia diberikan tanggungjawab mengendalikan segala urusan dan pentadbiran alam selaku wakil Allah dengan tugas untuk mengatur dan mentadbir di bumi ini.

Kelebihan dan keistimewaan yang ada pada manusia ini adalah merupakan satu yang semulajadi menurut fitrah Allah.

Maka dengan sebab itu tanggungjawab sebagai khalifah fil ardhi (wakil Allah di bumi) adalah suatu tugas yang fitrah selaku pemimpin, penguasa, pengatur dan pemakmur kepada alam sejagat.

Bagi melaksanakan tugas ini kita meletakkan kepimpinan itu adalah sebagai motor atau daya penggerak dari semua sumber dan alat yang terdapat bagi satu organisasi.

Sumber itu sama ada dari tenaga manusia atau bukan dari tenaga manusia.

Sumber tenaga manusia itu adalah timbul dari daya reka cipta manusia yang mampu mengolah bahan asli yang telah disediakan oleh Allah.

Kepimpinan menurut istilah Al-Quran boleh diertikan sebagai pemimpin atau secara langsung menyentuh hal ehwal kepimpinan.

Di antaranya ialah:

Imam/Imamah
Merupakan satu jawatan yang berperanan sebagai penunjuk jalan kepada sesuatu arah, tempat atau memimpin dengan contoh teladan di mana Imam itu sendiri mesti melaksanakannya lebih awal dari orang yang dipimpin. Contohnya dalam konteks kewajiban mengerjakan solat atau sembahyang. Imam mengangkat takbir, makmum turut bertakbir sebagaimana Imam bertakbir, begitulah seterusnya dalam segala perbuatan mengerjakan solat itu di mana apa-apa perlakuan Imam mestilah dituruti oleh Makmum. Oleh itu, Imam sebagai pemimpin manakala Makmum sebagai pengikut.

Khalifah
Merupakan suatu jawatan bagi menggantikan seseorang atau mengambil tempat untuk mengikut atau meneruskan tanggungjawab terhadap kehidupan. Dalam konteks sejarah kepimpinan Islam, khalifah merupakan pengganti Rasulullah dalam menerus, mengurus dan mentadbir negara Islam. Khalifah ialah sebagai pentadbir, penguasa, pengatur dan pemakmur yang bertanggungjawab mengatur kehidupan manusia di bumi dengan berdasarkqn kepada wahyu dan syariat Allah supaya kehidupan manusia itu teratur dan mempunyai tujuan hidup yang suci murni lagi mulia untuk mencapai keredaan Allah di bumi adalah berkewajiban mendirikan institusi kepimpinan yang diredai Allah.

Amir AI-Mukminin
Merupakan suatu jawatan atau kedudukan dalam kepimpinan yang bermaksud sebagai memberi arahan, pemberi tugas, pemerintah atau mengamanahkan seseorang dengan tugas. Dalam konteks sejarah pemerintahan Islam, Amir al-Mukminin merupakan pemerintah masyarakat atau Ketua Negara Islam.

Uli Al-Amri
Merupakan suatu jawatan atau kedudukan dalam kepimpinan yang menjalankan tugas dan amanah untuk mentadbir dan mengendalikan urusan dunia sesuai dengan syariat Allah. Oleh sebab itu adalah menjadi kewajiban kepada rakyat mematuhi apa yang diperintahkan Uli AI-Amri. Firman Allah, Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Uli AI-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantahbantah dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (AI-Quran dan As-Sunnah), jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya”.

Selain daripada itu juga, ada istilah lain yang dipakai bagi maksud yang berkaitan dengan kepimpinan dalam sesuatu kumpulan kerohanian iaitu seperti mursyid (penunjuk), syeikh (ketua) dan murabbi (pendidik).

Tanggungjawab Pemimpin
Pemimpin sebagai penguasa dan pemerintah di bumi Allah semestinya berkesanggupan untuk memakmur, memperbaiki, menegakkan keadilan, mententeramkan serta berkesanggupan pula untuk meningkatkan ketinggian nilai dan martabat manusia.

Ini bertujuan supaya mereka dapat mencapai tahap kesempurnaan yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai makhluk yang telah Allah muliakan.

Oleh itu, tanggungjawab pemimpin antaranya ialah Mengislah (memperbaiki) masyarakat melalui kepimpinan ialah dengan cara pemerintah menetapkan segala macam urusan kepimpinan dan pentadbiran kepada orang yang lebih layak dan patut serta berkemampuan melaksanakan tugas berkenaan.

Menegakkan kebenaran dalam islam yang mana dalam hal ini, walaupun kebenaran itu menggugat darjat, ketinggian, pangkat dan diri sendiri atau merupakan suatu kepedihan, kepahitan, kesusahan untuk dilaksanakan, pemimpin berkewajiban untuk menegakkan kebenaran Islam dan juga memelihara Karamatul Insan iaitu nilai kemanusiaan dalam konteks kepimpinan iaitu seseorang pemimpin itu hendaklah melakukan sesuatu berasaskan kepada akhlak, moral dan nilai keunggulan peribadi kemanusiaan, menjaga kehormatan diri supaya tidak melakukan sesuatu yang tidak bertentangan dengan nilai syariat dan peradaban manusia.

Memakmurkan bumi Allah dalam konteks pertumbuhan, perkembangan ekonomi dan pembangunan negara adalah merupakan perkara yang semestinya diambil berat.

Segala urusan yang bersangkutan dengan ekonomi dan pembangunan negara hendaklah ditimbang dari segi keperluan umum.

Pengagihan kekayaan negara hendaklah dipastikan supaya dirasa bersama oleh seluruh rakyat.

Islam sangat menggalakkan urusan perniagaan dan pembangunan ekonomi dan melarang berlakunya penindasan, kezaliman di antara penguasa dan pengguna.

Selain itu menjalankan urusan Amar Makruf dan Nahi Mungkar menjadi tanggungjawab pemimpin dan urusan negara untuk mengarah kepada melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Dengan pelaksanaan peranan ini akan menghasilkan keamanan, kesentosaan dan kesejahteraan rakyat di mana segala masalah sosial dan keruntuhan nilai akhlak dan moral akan dapat diatasi.

Pemimpin harus sedar bahawa semakin tinggi jawatan seseorang itu, maka semakin bertambah hebatlah tanggungjawabnya.

Setiap pemimpin mempunyai tanggungjawab masing-masing dan antara matlamat asas kepimpinan ialah pengabadian diri kepada Allah SWT, mencapai keredaan, keberkatan dan rahmat dari Allah serta rasulnya, mencapai kesempurnaan akhlak yang mulia, menyeru berbuat baik dan mencegah kejahatan dan akhir sekali mencapai kebahagiaan, kesenangan, kesejahteraan dan keselamatan manusia sejagat dunia dan akhirat.

Kesimpulannya ialah seorang pemimpin yang baik ialah mereka yang menghayati fungsi kejadian manusia dan memahami tanggungjawab dan matlamat asas kepada kepimpinan agar segala urusan yang dilaksanakan sentiasa mendapat rahmat dan keredaan Allah serta dipermudahkan segala urusan moga ia boleh direalisasikan dalam kehidupan.

Islamic Hijri Calendar

Followers

leave ur comments here ^_^

visit me on Facebook ^_^

Popular Posts Last 7 days

Popular Posts All Time

Archive